Sunday 24 September 2017

CIRI-CIRI LELAKI DIPANGGIL DAYUS

Gelaran dayus membawa erti kehinaan kepada lelaki. Namun yang perlu lebih ditakuti ialah balasan di akhirat nanti kepada lelaki dayus.

Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak). 

Lelaki dayus tidak akan masuk syurga dan tidak mendapat pertolongan Allah di akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang Allah tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Nasai)

Maksud hadis lain: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Hadis riwayat Al-Tabrani)

Lelaki menjadi dayus apabila:

- Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain, sama ada ketika bekerja, bersosial mahupun semasa berada di dalam rumah yang ada bukan muhrim bersamanya.

- Membiarkan isterinya besar keluar rumah tanpa diketahui di mana tempat dituju dan apa yang dilakukan.

- Membiarkan atau tidak mengambil tindakan berhati-hati dalam menjaga aurat isteri dan anak perempuan dewasanya.

- Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya, tidak kira di mana-mana, termasuk di dalam rumah sendiri.

- Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

Ulama bersetuju mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).”

No comments:

Post a Comment