Tuesday, 19 September 2017

JENIS NAFSU


Dalam Al Quran, nafsu manusia dibahagikan tiga jenis iaitu Nafsu Ammarah Bissu', Nafsu Lawwamah dan Nafsu Mutmainnah.

Nafsu Ammarah Bissu' sangat berbahaya apabila melekat pada diri seseorang manusia sebab ia suka mengarahkan manusia kepada perbuatan dan perilaku yang dilarang agama.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana  sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusof ayat 53)

Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup.

Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, “Siapa yang cuba nak mengalang tindakan ku akan menanggung akibatnya!” Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dgn sempurna oleh hati. Sekiranya hati tidak dapat meminta bantuan ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal, hati akan binasa.

Justeru, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperi kemanusiaan, bertindak mengikut sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.

Susah nak tegur orang yang yang sebegini kerana tidak peka dengan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Keras kepala!

Nafsu ammarah menduduki tahap paling rendah dalam kehidupan manusia, malah sebenarnya lebih rendah daripada binatang. Ini kerana binatang tidak mempunyai akal, sedangkan manusia mempunyai akal. Minta Allah jauhkan kita dari nafsu amarah.

Nafsu Lawwamah adalah nafsu yang sudah mengenal baik dan buruk. Nafsu tercela kerana kelalaian tuannya melaksanakan peraturan-peraturan Allah.

Nafsu ini mengarahkan pemiliknya untuk menentang kejahatan, tetapi suatu saat jika ia lalai beribadah kepada Allah S.W.T, maka ia akan terjerumus kepada dosa. Orang yang memiliki nafsu ini tidak tetap pendirian untuk menjalankan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, Kami kutuk mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merobah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkanlah mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Maidah ayat 13)

Orang yang memiliki nafsu lawwamah sebegini memiliki jiwa menyesali perbuatan salah lakunya dan berinisiatif untuk kembali ke landasan yang benar.

Contohnya semalam melakukan dosa dan perkara maksiat yang dilarang di sisi agama . Hari ini dia sedar akan kesilapannya kerana terlalu mengikut nafsu, lalu ia insaf dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.

Orang yang banyak dikuasai nafsu lawwamah juga mudah membaiki  diri dan mudah terima teguran org lain.

Ia juga tidak mudah hanyut dalam kesesatan yang membinasakan diri baik dalam kehidupan dunia mahupun akhirat.

Selain dari itu, nafsu lawwamah juga sering memikirkan baik buruk, halal haram, betul salah, berdosa ataupun tidak dalam segala tindakan. Jelas nafsu Lawwamah ini lebih baik dari nafsu amarah bissu'.

Nafsu Mutmainnah adalah  nafsu yang membuat pemiliknya tenang dalam ketaatan. Nafsu ini telah mendapat rahmat Allah S.W.T. dan manusia yang mendapatkan nafsu ini akan mendapat reda Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. Orang ini akan mendapat "husnul Khatimah"  di akhir hidupnya sebagai pintu menuju syurga Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.: “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,  dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Orang yang memiliki nafsu mutmainnah dapat mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan. Juga mereka mudah bersyukur dan qanaah di mana segala kesenangan hidup tidak membuat dia lupa diri, menerima anugerah Ilahi seadanya dan kesusahan yang dialami pula tidak menjadikan dirinya gelisah.

Ini disebabkan hatinya ada ikatan yang kuat kepada Allah. Mereka juga mudah reda dengan ketetapan dan ujian Allah.

Marilah sama-sama kita didik hati dan jiwa kita kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang terbaik dan yang paling dicintai Allah.

Nafsu ini adalah nafsu yang paling di redai Allah. Keredaan tersebut terlihat pada anugrah yang diberikan-Nya berupa senantiasa berzikir, ikhlas, mempunyai karomah, dan memperoleh kemuliaan.

Sesungguhnya, kemuliaan yang diberikan Allah S.W.T itu bersifat universal, ertinya jika Allah memuliakannya, siapa pun tidak akan boleh enghinakannya, demikian pula sebaliknya orang yang dihinakan oleh Allah S.W.T, siapa pun tidak boleh memuliakannya.


No comments:

Post a Comment