Wednesday 20 September 2017

PERBUATAN FITNAH TANDA HILANG AKAL

Fitnah perbuatan terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Tiada pihak mendakwa atau mengaku fitnah boleh membawa kebaikan, melainkan orang itu telah hilang akalnya. Bahkan, jika dia difitnah, cepat-cepat akan melakukan tindakan untuk mencegah fitnah itu berterusan, termasuklah mengambil tindakan mahkamah.

Mengapa ketika melemparkan fitnah kepada orang lain, tidak dirasakan betapa buruknya fitnah, sedangkan apabila diri difitnah akan bertindakbalas menyalahkan orang lain.

Budaya fitnah tanda jiwa dan hati sudah mati. Yang masih berkata-kata adalah syaitan yang menguasai diri. Perbanyakkan mengingati Allah serta bertaubat dan melakukan amal kebaikan untuk menghidupan semula hati yang mati itu.    

Jangan suka-suka menabur fitnah kerana akan menyesal nanti. Dosa melakukan fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu mengampunkan perbuatan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi unsur fitnah. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat.

Ingatlah, orang yang sukan menyebarkan fitnah tidak akan masuk syurga. Dosa besar yang dilakukan itu akan membawanya ke neraka. Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang besar dan berat sehingga tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah. Kesan fitnah adalah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Maka itu, kita perlu menjauhkan fitnah dalam apa bentuk sekalipun. Bercakaplah perkara yang benar, atau berdiam diri kerana itulah cara terbaik untuk mengelak dosa mulut. 

No comments:

Post a Comment