Wednesday 20 September 2017

SOPAN BERBICARA UNTUK ELAK KEBURUKAN

Dalam budaya kita, anak-anak sentiasa diajar dan diingatkan agar bersopan santun dalam bertutur. Aspek ini diberi perhatian sejak anak masih kanak-kanak kerana ia menjadi antara asuhan budi paling penting diterapkan di dalam diri kanak-kanak. Menyuruh bersikap sopan dan menuturkan perkataan baik-baik juga sebahagian suruhan agama. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, dan sekiranya masih tidak mampu maka hendaklah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya, banyak individu yang tidak menjaga lidahnya. Perbuatan mengumpat, fitnah, adu domba, kata-kata keji, menipu, sumpah bohong dan sebagainya adalah lahir dari lidah yang berniat busuk.

Banyak kesan buruk akibat lidah yang celupar. Kata orang ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan yang tidak baik.      

Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 

Percakapan juga seperti perbuatan yang melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong. 

Orang yang bercakap perkataan tidak baik termasuk mereka yang tidak teguh imannya. Mereka tidak dapat mengelak diri daripada bercakap perkataan tidak baik sedangkan agama menyuruh berbuat demikian.

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata yang tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat ‘mendiamkan diri’. 

Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Sesungguhnya, penggunaan bahasa sopan bermaksud tanda hormat terhadap orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya.  

Sifat hormat menghomati adalah banyak kebaikannya. Ini dapat mengelak salah faham dan perasaan tidak senang pihak lain jika perkataan kasar digunakan yang dianggap tanda penghinaan. 

Elakkan kesusahan menimpa diri disebabkan perkataan buruk yang diucapkan. Akibat sepatah perkataan yang diucapakan boleh membawa kepada kerugian dan penyesalan seumur hidup. Kata pepatah, ‘kata itu lebih tajam daripada mata pedang’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan’.

Gunakan kata-kata untuk menyuruh melakukan kebaikan dan melarang perkara buruk. Firman Allah SWT bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)". (Surah Ali Imran, ayat 110)

No comments:

Post a Comment