Saturday 7 January 2017

AKTA FITNAH 1957


Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia.  

Namun, pada masa sama, Perkara 10 di bawah Fasal (2), (3) dan (4) menjelaskan mengenai batasan atau sekatan untuk memastikan kebebasan yang diberikan itu tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan.  

Untuk menghalang sikap tidak bertanggungjawab menyalahgunakan Perkara 10 (1) (a), kerajaan mewujudkan Akta Fitnah 1957.  

Akta tersebut bertujuan melindungi masyarakat daripada menjadi bahan fitnah orang yang tidak bertanggungjawab. 

Fitnah adalah kata-kata dusta mengenai orang lain dan dihebahkan atau disiarkan kepada pihak ketiga. . 

Jika fitnah itu mengandungi unsur jenayah, tuduhan boleh dikenakan di bawah Kanun Keseksaan (S.449) dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara dan/atau denda. Dalam kes fitnah, tanggungjawab membuktikan sesuatu (burden of proof) terletak pada yang dituduh membuat fitnah. 

Pihak yang tertuduh perlu membuktikan bahawa kenyataan/ keterangannya itu adalah benar dan merupakan berita atau ulasan yang adil (fair  comment) dan dibuat untuk kepentingan orang ramai.

Kewujudan akta fitnah dilihat satu perkara yang telah banyak menghalang pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan persekitaan kehidupan rakyat yang kucar kacir dan saling memperkecilkan antara satu sama lain.

Hasil akta ini dapat melahirkan masyarakat Malaysia agar lebih peka untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan. Ini penting dalam kehidupan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama anutan. 

Isu sensitif berkaitan kaum dan agama sering ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.  Namun perkara ini dapat dibendung dengan adanya akta fitnah ini.

Sesungguhnya, biarpun ada yang menganggap kewujudkan akta ini sebagai menyekat kebebasan bersuara, hakikatnya, ia satu ‘pagar’ keselamatan yang diperlukan di negara kita. 

Kita tidak boleh membandingkan negara lain dengan negara kita.  Kebebasan mereka boleh diberikan kerana persekitaran kehidupan masyarakatnya berbeza dengan kita.  

Terimalah seadanya apa yang ada dan dikuatkuasakan di negara kita demi untuk kepentingan semua pihak.

Sesungguhnya, yang terbaik untuk negara kita adalah berdasarkan kepada keperluan semasa dan yang memberi kesan yang menjamin kepentingan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, serta siapa dia.  

AKTA LAIN

Selain itu beberapa Akta lain turut mempunyai kaitan langsung untuk mengekang penyebaran fitnah, mengelak kebocoran rahsia, mengekang tindakan tidak bertanggungjawab dan menyebar sesuatu yang tidak sepatutnya.

Akta Hasutan 1948: 

Bertujuan menghukum sesiapa yang membangkitkan soal-soal sensitif dengan tujuan menghasut dan membahayakan keselamatan negara. 

Akta ini meliputi kata-kata hasutan yang dibuat di luar dan di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Sesuatu kenyataan dianggap menghasut apabila menyentuh keselamatan negara atau bertujuan menghasut. 

Kesan hasutan tidak perlu ada pada pihak ketiga dalam kes menghasut. Akta ini dikuatkuasakan ke atas rakyat Malaysia yang berada di dalam atau luar Malaysia.

Akta Rahsia Rasmi (pindaan)1986: 

Bertujuan menjaga rahsia rasmi negara supaya ia tidak dibocorkan kepada pihak yang ingin mendapat keuntungan serta merta atau yang boleh mengancam keselamatan negara. 

Jika sabit kesalahan hukumannya penjara mandatori di antara satu hingga tujuh tahun. Akta ini boleh dikuatkuasakan ke atas seseorang rakyat Malaysia di negara mana jua kesalahan itu dilakukan. 

Dokumen yang dianggap rahsia rasmi Kerajaan ialah kertas-kertas yang ditentukan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia Sulit” atau “Terhad” yang ditetapkan oleh Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau pegawai-pegawai tertentu yang diberi kuasa.

Kanun Keseksaan: 

Ada beberapa peruntukan jenayah dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) yang menyentuh kebebasan bercakap. Sekatan dibuat mengenai perkataan-perkataan yang mencabul kehormatan wanita (S.509), ugutan (S.503), mengeji atau mencerca (S.504), kenyataan khianat, berita angin (S.505), iklan buku-buku lucah (S.292) dan kenyataan yang boleh menyinggung agama (S.298). 

Kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dan/atau didenda.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984:

Bertujuan mengawal semua jenis penerbitan sama ada yang dicetak di dalam negeri atau yang diimport. 

Sesiapa mencetak atau mengeluarkan penerbitan lucah atau bertentangan dengan akhlak atau sesuatu yang mengandungi hasutan supaya mengingkari perintah yang sah atau yang boleh membawa kepada kekacauan atau permusuhan kaum dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini. Dia boleh dihukum dan mesin cetaknya boleh dirampas.

InjuctionIalah cara untuk membatasi kebebasan berucap atau menerbitkan sesuatu perkara yang menjadi isu. Injuction juga merupakan penapisan perundangan (judicial censorship). 

Jika ada sesuatu laporan yang telah diterbitkan maka mahkamah, atas permintaan salah satu pihak yang terlibat, boleh mengeluarkan injuction untuk mencegah siaran mengenai isu yang dipersoalkan dibuat selanjutnya, sama ada dalam bentuk buku atau siaran di media.

No comments:

Post a Comment