Nabi Muhamad tokoh sepanjang zaman. Sirah Rasulullah SAW
penuh tauladan untuk diikuti dan dijadikan panduan hidup.
Perkara ini bukan saja diakui penganut Islam, bahkan di
kalangan bukan Islam. Biarpun tidak menganut Islam, tetapi mereka tidak dapat
menafikan bahawa Rasulullah adalah individu terbaik yang pernah mendiami dunia
ini.
Seorang Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi Amerika Syarikat, Michael H.Hart
menerbitkan sebuah buku pada tahun 1978 bertajuk "The 100: A Ranking
of the Most Influential Persons in History" yang terjual hampir 500,000
naskhah pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan
sebagai Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh
yang lain.
Kehebatan dan ketokohan baginda meliputi semua aspek.
Baginda seorang nabi dan rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan
atau sahabat dan pelbagai lagi.
Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah SWT menerusi
firman-Nya yang bermaksud : "Demi sesungguhnya, adalah bagi diri
Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia
pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan
senang)". (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Seseorang individu muslim yang mengimpikan sebuah keluarga
bahagia, Rasulullah SAW adalah rujukan dan contoh ikutan terbaik. Sikap baginda
sangat menghargai isteri-isteri dengan mempamerkan akhlak yang tinggi disulami
kasih sayang, bantu membantu, mengambil berat dan bertimbang rasa.
Baginda tidak pernah melakukan kekasaran kepada
isteri-isteri. Apa yang dipamerkan adalah tahap kesabaran yang tinggi.
Keindahan dan keharmonian dalam berumah tangga akan terserlah dengan wujudnya
sifat saling faham memahami dan hormati menghormati antara satu sama lain.
Berdasarkan sirah, Nabi Muhammad SAW tidak keberatan
membantu isteri baginda menyiapkan kerja-kerja rumah yang lazimnya dilakukan
para isteri.
Menurut Ibn Hajar, Aisyah meriwayatkan katanya:
"Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan
apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka." (Hadis riwayat Ahmad
Ibnu Hibban).
Sikap membantu isteri sebegini bukanlah menjadi kehinaan dan
menjadikan seseorang suami itu rendah martabat dan darjatnya serta timbul pula
istilah moden yang mengatakan 'takut isteri atau takut bini.'
Malah jika semua merenung kembali bagaimana sesebuah rumah
tangga itu terbina atas rasa persefahaman dan kemesraan.
Sikap mulia yang dibawa oleh Rasulullah SAW terhadap para
isteri yang diakui oleh Aisyah yang meriwayatkan Rasulullah SAW tidak
pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya. (Hadis riwayat
Bukhari).
Pernah juga diceritakan bahawa Aisyah amat terharu atas
pengorbanan Rasulullah SAW sewaktu hendak memulakan suatu
perjalanan, baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam
keadaan selesa.
Anas pernah mengatakan baginda akan duduk bagi membolehkan
isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta. Sebenarnya dengan
melakukan perkara sedemikian, menjadi pengikat tanda kasih sayang.
Inilah yang tersirat dalam sabda Rasululah SAW bermaksud:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku
sebaik-baik orang terhadap keluargaku". (Hadis riwayat Tirmizi).
Secara mudahnya, tonggak kehidupan dalam rumah tangga walau
tidak diselimuti harta benda dan kemewahan ia masih ada ruang untuk umat Islam
mengecapi bahagia dan harmoni asalkan landasannya berpaksikan perintah
keagamaan menerusi amalan-amalan terbaik yang dipaparkan oleh baginda SAW
terhadap ahli keluarga baginda.
Allah SWT mengingatkan suami isteri sentiasa memohon agar
kehidupan berumah tangga dalam keadaan bahagian.
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Tuhan kami, berilah
kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang
menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang
yang (mahu) bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)
No comments:
Post a Comment