Skim cepat kaya atau skim piramid menarik
minat orang tamak menyertainya yang akhirnya menjadi mangsa tipu sehingga
menyebabkan atau punca muflis.
Kisah penipuan skim cepat kaya memang
diketahui ramai kerana ia bukan perkara baru dan selalu didedahkan dalam media
massa. Malangnya ramai yang masih tidak mengambil iktibar peristiwa pendedahan
mangsa skim cepat kaya.
Disebabkan tidak serik dan masih mempercayai skim cepat kaya yang menjanjikan perkara bukan-bukan, mereka rela ditipu dan menjadi mangsa.
Disebabkan tidak serik dan masih mempercayai skim cepat kaya yang menjanjikan perkara bukan-bukan, mereka rela ditipu dan menjadi mangsa.
Malah yang pelik ialah orang yang pernah
ditipu dan masih rela ditipu untuk sekian kalinya. Mereka mengharapkan nasib
kali ini lebih baik dan memberi keuntungan seperti yang dijanjikan.
Paling ketara ialah penipuan berasaskan
sistem piramid yang berselindung di sebalik jualan langsung. Mereka yang
mengetahui kewujudan sistem piramid, tetapi masih meneruskan atas alasan dia
berada di atas dan berpeluang mendapat keuntungan lebih tanpa mempedulikan
nasib pelabur baru yang dibawa olehnya memasuki skim itu.
Perbuatan itu samalah dia merampas hak orang
muslim lain. Sesungguhnya amat besar dosa yang dilakukan itu hingga
menghalangnya memasuki syurga.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui
sabda bermaksud: “Sesiapa merampas hak orang muslim dengan sumpah, dia wajib
masuk neraka dan haram baginya syurga.” (Riwayat Muslim).
Maka berhati-hatilah dalam urusan mencari
rezeki. Sebaik-baik cara mencari rezeki ialah dengan bersungguh-sungguh
melakukan usaha, biarpun terpaksa berdepan dengan kesukaran. Allah menyediakan
seluruh penjuru alam ini untuk dimanfaatkan oleh manusia.
Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Kita perlu berusaha gigih. Belajarlah dengan mereka yang telah
berjaya dalam perniagaan masing-masing. Pasti
mereka menceritakan perit maung sebelum mereka berjaya.
Maka itu, jika ada yang menjanjikan kejayaan
dengan mudah, pasti ada yang tidak kena. Kita berkemungkinan akan menjadi
mangsa penipuan. Orang lain
akan mengambil kesempatan atas kebodohan dan ketamakan kita.
Perniagaan jualan langsung umumnya dan yang
dijalankan secara MLM khususnya adalah salah satu bentuk perniagaan yang telah
menyumbang kepada pendapatan individu dan ekonomi negara.
Perniagaan dalam kategori ini menjadi suatu landasan
yang memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan isi
rumah bagi menjana sumber mata pencarian secara tetap atau sampingan ke arah
meningkatkan taraf hidup.
Antara ciri-ciri MLM ialah wujudnya barang
untuk diniagakan. Kita
perlu menjual dan menaja orang lain untuk mengembangkan perniagaan. Modal yang diperlukan kecil dan tidak
ada paksaan untuk menyediakan wang yang banyak dalam jumlah tertentu.
Ini berlainan skim piramid yang mana perkiraan, pelan, pengendalian atau
proses berantai yang bonus atau faedah diperoleh semata-mata atau terutamanya
daripada perekrutan atau pengambilan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian
atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang, perkhidmatan atau
harta tidak ketara oleh peserta.
Skim piramid atau skim cepat kaya adalah
tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau
pertaruhan (qimar) melalui
permainan wang (money game) iaitu downline yang baharu ditaja oleh upline akan kehilangan wang penyertaan
jika tidak berusaha mencari downline yang lain.
Skim piramid tidak mementingkan aspek
penjualan. Sebaliknya pelan lebih memfokuskan kepada pencarian atau
perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan bukan
dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada
pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.
Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim
piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu
semata-mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada penjualan barang atau
perkhidmatan.
Pembelian wajib barang atau perkhidmatan atau
harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan dikenakan sebagai
syarat untuk melayakkan seseorang mendapat bonus atau faedah ekonomi lain dalam
skim terhadap pembelian atau jualan peribadi atau pembelian atau jualan ahli di
bawahnya.
Peserta tidak diberi pilihan dan dikehendaki
melakukan "inventory
front-loading” iaitu membeli
barang atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi
jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.
Pembelian pangkat atau pembelian lebih
daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim
piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.
Syarikat yang menetapkan struktur pembayaran
bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan peserta melangkau upline dengan tidak mengambil kira
keupayaan dan usaha sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang
bertentangan dengan hukum syarak.
Skim piramid mengandungi Unsur Penipuan,
Penindasan, Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian
Insentif
Sebarang unsur penipuan, penindasan,
manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam usaha mencari ahli
baharu semata-mata atau terutamanya untuk meningkatkan sasaran pencapaian
kumpulan adalah ditegah oleh hukum syarak.
"Manipulasi" ertinya segala
tindakan dan selok-belok untuk memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian
orang lain tanpa disedari orang itu.
"Eksploitasi" ertinya perbuatan
(tindakan) mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu
keadaan dan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.
Skim piramid juga mengandungi unsur paksaan yang bertujuan untuk mencari ahli
baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus dan berhikmah
tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau mendatangkan kegelisahan dan
kegusaran kepada individu yang didekati.
Skim piramid mengandungi unsur pembaziran
apabila pembelian dalam kuantiti yang banyak tanpa justifikasi yang wajar
semata-mata untuk mendapatkan bonus yang ditawarkan tanpa mempunyai strategi
pemasaran yang sewajarnya.
Sepatutnya pembelian produk yang ditawarkan
oleh syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan sebenar
dan/atau keupayaan untuk menjual produk tersebut.
Satu lagi unsur skim piramid ialah
menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha
Mana-mana syarikat jualan langsung yang
menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian komisen/bonus
tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi dan penjualan barang
atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana mengandungi
unsur riba.
Unsur lain yang perlu ditolak ialah apabila
perniagaan mengandungi unsur syubhah. Dalam
konteks perniagaan jualan langsung yang berteraskan multi-level marketing,syarikat
hendaklah memastikan bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara
yang tidak jelas atau syubhah dalam setiap aspek perniagaan tersebut
meliputi pelan pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan
perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan yang
dijalankan adalah mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh
Islam.
Rasulullah SAW bersabda bahawa perdamaian
diharuskan di kalangan orang Islam kecuali perdamaian yang mengharamkan yang
halal atau yang menghalalkan yang haram dan orang Islam terikat dengan
syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau
menghalalkan yang haram. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi).
Prinsip saling reda-meredai penting dalam
perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 29 bermaksud: Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu
sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan
jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
mengasihani kamu.”
Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa
sesungguhnya jual beli adalah berdasarkan konsep saling reda-meredai (kerelaan
kedua-dua belah pihak). (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)
Penipuan dalam perniagaan amat ditegah dalam
Islam. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah berjalan melalui satu
timbunan makanan lalu baginda memasukkan tangannya dalam timbunan tersebut maka
tersentuh jari-jarinya sesuatu yang basah, lalu baginda bertanya kepada tuan
makanan tersebut, “Apa ini?” Lalu dia menjawab, “Makanan itu terkena air
hujan”, Rasulullah lantas berkata, “Tidak bolehkah kamu meletakkan yang basah
itu di atas sehingga orang dapat melihatnya,” kemudian baginda bersabda,
“Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Diriwayatkan
oleh al-Tirmizi).
Mereka yang menjalankan perniagaan dengan
jujur akan sentiasa diberkati. Sabda Rasulullah SAW: “Pembeli dan penjual mempunyai hak khiyar (pilihan untuk meneruskan akad
atau pun tidak) selagi mana mereka belum berpisah. Sekiranya mereka berkata
jujur dan menjelaskan (kondisi barang dan harganya) dalam jual-beli,
kedua-duanya akan diberkati. Namun sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan
(perkara yang sebenar), maka dihapuskan keberkatan jual beli mereka.‟
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment