Monday 2 January 2017

CARA KAWAL KENAIKAN HARGA

Negara sering dilanda krisis kekurangan bekalan makanan seperti minyak masak, daging ayam, gula, beras dan gandum.  

Masalah kekurangan akan diikuti isu kenaikan harga yang memerlukan campur tangan kerajaan untuk mengawal apabila pengedar dan penjual mengambil kesempatan menaik harga. 

Alasan yang diberikan ialah mereka mendapat bekalan harga lebih mahal dan pastinya juga perlu menjualnya pada harga lebih mahal daripada biasa.  

Perkara itu dikaitkan sebagai amalan biasa dalam perniagaan yang terdapat anjakan turun naik dalam harga yang ditentukan oleh permintaan dan penawaran.    

Masalah kenaikan harga tidak hanya berlaku kepada bahan makanan yang menjadi keperluan asas, bahkan kepada barang-barang dan perkhidmatan lain yang bersifat barang keperluan yang pengguna ‘mesti’ membelinya untuk keselesaan kehidupan seharian.  

Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi negara dan seterusnya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.  Inflasi memberi kesan buruk terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Isu berlakunya kenaikan harga sebenarnya berpunca kerenah peniaga yang ingin mendapat untung lebih berdasarkan kepada situasi semasa yang mana mereka berkuasa menentukan harga barangan dan perkhidmatan.  

Peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga ketika pembeli sanggup membayar lebih asalkan dapat membeli keperluan untuk kegunaan harian. 

Pengguna mudah merasa panik jika sesuatu keadaan melibatkan sumber makanan yang menjadi keperluan asasi.  Manusia sanggup melakukan apa saja asalkan mendapat bekalan makanan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarga.  

Jadi, pengguna merasakan berbaloi biarpun terpaksa membayar dengan harga lebih tinggi untuk mendapat keperluan makanan.

Menyedari kepada sikap pengguna itu, peniaga menjadikan isu kekurangan bekalan sebagai alasan untuk menaikkan harga bagi meraih keuntungan yang lebih berbanding biasa.  

Sikap peniaga sedemikian sebenarnya melanggar etika urus niaga yang sepatutnya dilakukan dengan kejujuran dan menjaga kepentingan bersama dengan cara adil.

Sebenarnya, pengguna tidak akan terjebak dengan perangkap peniaga jika menjadi pengguna yang bijak dan menggunakan hak sebaik-baiknya.  Sikap pengguna yang ‘melanggar’ peraturan kepenggunaan menyebabkan kerugian kepada pihak pengguna sendiri. 

Bermula pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 mula dikuatkuasakan. Akta baru ini menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Pencatutan ertinya mengambil keuntungan secara berlebihan(profiteering).

Melalui akta ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan dan akan menjadi satu platform penting yang menjaga hak dan kepentingan pengguna.

Akta ini digubal bagi mewujudkan sebuah mekanisme menghalang dan melarang peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab dan peniaga tidak boleh menaikkan harga barang serta mengaut keuntungan berlebihan sesuka hati sehingga menyusahkan pengguna.

Sekiranya melanggar peraturan tersebut, mereka akan berdepan hukuman berat bagi menyekat sikap tamak berkenaan.

Dengan pelaksanaan undang-undang itu, ia akan dapat menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab di negara ini.

Dalam Akta ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Akta ini juga meneruskan peraturan dalam Akta sebelumnya, iaitu penjual barang dan perkhidmatan hendaklah mempamerkan senarai harga barang dan perkhidmatan di tempat yang mudah untuk dilihat oleh pelanggan.


Kepentingan utama akta ini adalah untuk menetapkan peraturan bagi memastikan tidak ada peniaga menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah.

Akta ini memberi kuasa kepada Menteri PDNKK untuk menetapkan satu mekanisme penetapan harga yang munasabah berdasarkan elemen-elemen dalam penetapan harga seperti cukai, kos pembekal, keadaan penawaran dan permintaan, keadaan geografi dan pasaran serta faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kedudukan harga.

No comments:

Post a Comment