Nabi Muhammad SAW bukan pemimpin atau ketua parti politik
Islam.Biarpun proses pemerintahan dikaitkan dengan
politik, tetapi Rasulullah SAW tidak menubuhkan parti politik. Bahkan ketika
zaman Rasulullah SAW tidak wujud istilah parti politik.
Dakwaan mengaitkan Rasulullah SAW sebagai
pemimpin parti politik bererti menyamakan baginda dengan status ketua parti
seperti sekarang.
Sesungguhnya Rasulullah SAW bebas daripada
pengaruh ideologi politik. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam
kepimpinan adalah merangkumi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah
politik.
Sesungguhnya terdapat perbezaan amat ketara
antara Islam dengan parti politik. Jadi tidak mungkin ada parti politik
yang dapat berperanan sebagai parti untuk umat Islam. Islam tidak
mengasing-asingkan umatnya berdasarkan parti politik.
Islam untuk seluruh manusia tanpa mengira
batasan geografi, pemerintahan, bangsa dan budaya. Sedangkan parti
politik hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai ahlinya. Keahliannya
terbuka kepada individu di sesuatu kawasan sahaja.
Parti politik terikat kepada perlembagaan
yang dibuat oleh manusia. Tetapi, Islam sepenuhnya diturunkan Allah SWT
kepada manusia.
Tidak akan terjadi apa yang dibuat manusia akan menyamai
apa diturunkan Allah SWT. Sesiapa benar-benar mengikuti apa diturunkan
Allah SWT tidak perlu mencipta yang baharu.
Perjuangan politik berdasarkan kepada
kepentingan parti mengikut matlamat yang ditetapkan. Setiap parti politik
mempunyai perlembagaan yang berbeza. Mereka bebas mengubah perlembagaan
parti jika mendapat persetujuan majoriti ahli.
Manakala Islam memperjuangakan kepentingan
sejagat. Islam tidak memperjuangan kepentingan kelompok. Islam
adalah universal dan hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat
diubah atau ditukar-tukar mengikut selera kelompok tertentu sahaja.
Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum
yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan keputusan bersama para ulama.
Perpaduan Islam menyeru kepada kesatuan dan
tidak boleh memulau mana-mana individu Islam. Tetapi amalan parti
membolehkan seseorang disekat menjadi ahli atau dibuang menjadi ahli jika tidak
mematuhi peraturan parti.
Peraturan itu samalah seperti melarang
individu atau kumpulan lain daripada bersama-sama berjuang menegakkan agama
Islam (berdasarkan apa yang didakwa). Sesiapa melarang orang berjuang di
jalan Allah SWT, bermakna menentang Allah SWT.
Jika keislaman ditentukan dengan parti
politik, bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik
Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah
orang yang tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam?
Apa yang ditekankan oleh Rasulullah SAW ialah
pemerintahan dalam masyarakat dan negara. Banyak hal kenegaraan
dijelaskan untuk membentuk keamanan, kemajuan dan keadilan dalam
pemerintahan.
Sesiapa yang mengikuti kaedah pemerintahan
yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sudah layak dipanggil pemerintah Islam
biarpun parti atau negara yang dipimpin itu tidak menggunakan nama 'Islam'.
Tugas pemerintah lebih penting ialah
mewujudkan persekitaran yang selamat, aman, kesejahteraan, harmoni, adil,
peluang pekerjaan, kemudahan awan dan pendidikan. Pemerintah boleh melaksanakan
dasar-dasar Islam tanpa pengiystiharan negara Islam.
Sempurnanya Islam bukan atas gelaran atau
nama, tetapi berdasarkan apa yang dilakukan dengan niat mematuhi perintah agama
dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.
Rasulullah SAW tidak menyebut mengenai
penubuhan parti politik Islam. Perkara ini tidak pernah terjadi pada
zaman Rasulullah SAW. Justeru, Rasulullah SAW bukanlah pemimpin parti
politik Islam. Baginda pemimpin bagi seluruh umat Islam sepanjang zaman.
Gambar: Aktiviti ziarah Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan di Pulau Seratus. Gambar hiasan.
No comments:
Post a Comment