Fitnah dicipta bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan, selain digunakan untuk menaikkan 'darjat' orang mencipta berbanding
orang difitnah. Fitnah juga untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap sesuatu perkara yang mana apabila hal difitnah mendapat perhatian ramai, maka isu lain
tertutup.
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan
menghalang pelakunya masuk syurga. Perkara ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak
masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).
Dosa fitnah digolongkan dosa sesama manusia. Justeru, Allah
tidak mengampun dosa fitnah walaupun pelakunya bertaubat, melainkan orang
difitnah memaafkan perbuatan itu.
Dalam Islam, sesuatu berita benar tidak boleh disebarkan jika orang
berkenaan cerita tersebut tidak mahu disebarkan kepada orang lain. Dengan
kata lain, jika menyebarkan berita benar dilarang, inikan pula menyebarkan
berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan
rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya
yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba
dan fitnah.
Tentang berita benar dan berita tidak benar disebarkan tanpa kebenaran atau
kerelaan orang berkaitan cerita berkenaan dijelaskan dalam hadis diriwayatkan
Abu Hurairah bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah
(mengumpat)?
Para sahabat menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu
Baginda meneruskan sabdanya: “Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang
tidak disenanginya.” Lalu ditanya oleh seorang sahabat: “Walaupun
saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?”
Rasulullah bersabda lagi: “Jika kamu berkata tentang perkara yang
benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang
tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya.”
Larangan mencari dan membocorkan rahsia dilarang keras. Firman-Nya
bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang lain” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Justeru itu setiap Muslim perlu bijak menilai berita bagi mengelak daripada
menerima dan menyebarkan berita berunsur fitnah. Perkara pertama
perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan
daripada mana sumbernya.
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita
maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah
kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali
perbuatan kamu itu.”(surah al-Hujurat, ayat 6)
Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah
ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, berpunca daripada api
fitnah disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada beberapa siri peperangan
sesama Islam atau perang saudara semasa zaman pemerintahan Saidina Ali dan
zaman-zaman selepas itu.
Akibat fitnah telah meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah. Sejarah
kejatuhan empayar besar Kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali akibat fitnah.
Jelas sekali betapa buruknya kesan fitnah sehingga membawa kepada
pembunuhan dan kejatuhan kerajaan. Perkara ini perlu diberi perhatian agar
negara kekal aman dan selamat.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah
hadis yang bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana
perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk,
berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua
bersaudara-mara. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ubat penyakit hati ialah memperbanyakkan taubat dan berzikir untuk
membersihkan hati dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Individu
hampir dengan Allah SWT menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan dilarang,
lebih-lebih menyebarkan fitnah dosa amat besar.
No comments:
Post a Comment