Thursday 23 June 2016

Cara taubat hapus dosa

Hendaklah segera taubat dengan cara betul bagi memastikan terhapus dosa. Sesungguhnya, Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk hamba-Nya memperbetulkan kesilapan dan dosa yang telah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak disedari. Setiap dosa dilakukan menyebabkan kekotaran di dalam diri atau hati. Maka, untuk membersihkan dosa itu Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa.

Taubat bererti kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada segala perbuatan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian Allah.

Taubat boleh dilakukan bila-bila masa tidak kira di mana kita berada. Namun perlu diingatkan bahawa taubat jua ada masa atau hadnya iaitu Allah akan menolak permohonan taubat apabila nyawa telah berada di halkum atau ketika maut telah terlalu hampir. 

Sebab itu, kita tidak seharusnya melengah-lengahkan taubat. Sebaik menyedari telah melakukan dosa, tidak kira kecil atau besar, maka perlulah terus bertaubat. Sikap menangguhkan taubat ingin dilakukan apabila usia tua perlu dijauhkan.  

Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.  

Taubat membolehkan manusia memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat dan seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan ketaatan penuh keikhlasan kepada Allah.

Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya yang hatinya masih beriman kepada-Nya kecuali dosa syirik. Biarpun sebesar mana dosa yang dilakukan, Allah tetap mengampunkan. 

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah azz-Zumar, ayat 53)

Jika ia melibatkan dosa syirik, biarpun tidak diampunkan, tidak pula bermakna peluang untuk memperbaiki diri tertutup langsung. Dosa syirik dihapuskan melalui pengakuan mengesakan Allah atau mengucap dua kalimah syahadat. 

Manakala dosa melibatkan sesama manusia, dosa itu perlulah diampunkan oleh orang yang berkenaan. Sebagai contoh, jika ia berkaitan dosa mengumpat atau fitnah, maka untuk menghapuskan dosa itu maka hendaklah mendapat kemaafaan daripada orang yang diumpat atau difitnah itu.

Sebab itu, kita dinasihatkan agar berhati-hati dalam hubungan sesama manusia. Tentulah amat sukar untuk kita memohon kemaafan sesama manusia, tambah lagi ia melibatkan jumlah orang yang terlalu banyak. 

Namun begitu, bagi siapa yang menyedari betapa banyak dosa yang telah dilakukan sesama manusia dan merasakan tidak mungkin dapat memohon kemaafan dari setiap individu yang telah dibuat kesalahan, maka tetap bertaubat memohon keampunan terus kepada Allah. 

Rasulullah SAW menjelaskan sememangnya manusia tidak terlepas daripada kesilapan dalam hidupnya dan selamanya manusia itu tidak maksum atau terpelihara kecuali nabi dan rasul. Pun begitu, keadaan itu tidak pula seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan dosa. Kita mesti sedaya mungkin mengelak daripada melakukan dosa. Hanya jika telah melakukan dosa maka teruslah bertaubat memohon keampunan daripad Allah.   

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Hamba yang sedar akan dosa yang telah dilakukan terus bertaubat kepada Allah dan menyerahkan diri kepada-Nya dengan penuh penyesalan dan seterusnya membulatkan tekad keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.

Inilah antara ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang bertakwa itu) ialah orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135-136)

Taubat bukan sekadar melafaz ucapan, sebaliknya mereka yang bertaubat hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Sesungguhnya taubat bukan saja untuk menghapuskan dosa, tetapi juga sebahagian daripada ibadat. Maka itu, kalaupun merasakan diri tidak melakukan sesuatu dosa secara terang-terang, sebenarnya masih dituntut agar bertaubat sebagai sebahagian amalan harian. Tindakan itu dapat mengingatkan kita agar tidak melakukan dosa-dosa lain.   

Diriwayatkan Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang. Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah, "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika Rasulullah SAW yang tidak melakukan dosa tetapi tetap melakukan taubat, mengapakah pula kita yang sentiasa tidak sunyi daripada melakukan dosa bertindak sebaliknya. Janganlah kita sombong dan menjauhkan diri daripada rahmat Allah. Jadilah kita hamba yang sentiasa membersihkan diri dengan memperbanyakkan taubat.

No comments:

Post a Comment