Friday 24 June 2016

Dosa mendedahkan aib sendiri

Biasanya orang yang melakukan perbuatan dosa akan berusaha untuk menyembunyikan daripada pengetahun orang ramai. Malah, jika diketahui orang lain, pelaku perbuatan salah itu akan bertegas menafikan perbuatan itu. 


Ironinya keadaan ini nampaknya sudah berubah, walaupun tidak melibatkan semua orang, ada orang yang melakukan perbuatan aib akan mendedahkan untuk pengetahuan orang ramai dan merasa bangga untuk dipertontonkan kepada orang ramai melalui laman sosial.


Laman sosial sepatutnya digunakan untuk berkongsi perkara-perkara baik dan mengembirakan orang lain. Begitu juga dengan penyebaran gambar atau status di laman sosial untuk memberitahu mengenai sesuatu kejadian dan kedudukan terkini. 


Justeru, menjadi perkara yang tidak sepatutnya berlaku penyebaran gambar lucah membabitkan sepasang pelajar universiti. Gambar pasangan terbabit yang kelihatan berbogel itu, dipercayai dirakam ketika menginap di sebuah pusat peranginan, sebelum dimuat naik menerusi akaun Facebook.


Walaupun pasangan perempuan di dalam gambar menafikan dan telah membuat laporan polis bahawa akaun Facebook yang menggunakan namanya itu bukan miliknya. Sebaliknya, akaun tersebut telah dibuka oleh pasangannya dengan menyalahgunakan namanya. 


Siapapun yang membuka akaun tersebut, ia melibatkan salah seorang dalam gambar lucah itu. Maksudnya, jika ditujukan bahawa teman lelakinya yang menggunakan akaun palsu, perbuatan itu tetap tidak bermoral.


Dalam Islam, perasaan malu dikaitkan dengan tahap keimanan seeorang. Banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebut mengenai pentingnya perasaan malu dan kaitannya dengan keimanan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman itu ada lebih 60 cabang.  Dan sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.” (Hadis riwayat Abu Hurairah). Manakala satu lagi hadis yang diriwayatkan Muslim dan Tirmizi pula bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Sebenarnya kes mendedahkan perbuatan dan gambar aib di laman sosial bukan pertama kali berlaku. Sudah terlalu banyak gambar dan status dipaparkan di laman sosial mengenai perbuatan memalukan, yang bertukar menjadi perkara membanggakan. Rakan-rakan yang sealiran dan melakukan perbuatan yang sama pasti akan memberi reaksi memuju dan mengucapkan tahniah pernyebaran kisah memalukan itu. 


Bagi orang yang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielak daripada melakukannya. Perasaan malu menjadi perisai diri daripada melakukan perkara ditegah oleh agama, undang-undang dan tata susila kemanusiaan. 

No comments:

Post a Comment