Wednesday 15 June 2016

Sebab ibadat jadi adat

Keghairahan melakukan ibadat kadang-kadang menjadikan ia sebagai satu adat atau ritual. Mereka lupa hakikat ibadat yang sebenarnya. Sikap terikut-ikut tanpa ilmu mengenai sesuatu perkara dilakukan menjadikan perbuatan itu lebih kepada adat.

Contohnya dalam ibadat puasa. Pada bulan Ramadan banyak orang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan ibadat lain. Wanita yang tidak bertudung, akan bertudung. Itu memang baik dan digalakkan. Tetapi, adakah itu satu keinsafan atau kerana sudah dianggap adat dan ritual?  Buktinya, apabila habis bulan Ramadan, maka masing-masing lupa tentang ibadat dan batasan dosa. Kebanyakan orang akan kembali kepada kehidupan asal.    

Begitu juga dalam soal menyambut Aidilfitri.  Sambutan dilakukan dengan hebat sekali sehingga sebulan lamanya. Hakikatnya, Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pun, tidak salah untuk dilanjutkan untuk tempoh dua tiga hari. Tetapi kalau sudah sehingga sebulan lamanya, itu kita sudah keterlaluan. Bahkan ada yang masih mengadakan majlis sempena Aidilfitri biarpun Syawal sudah tamat.  

Alasan mengatakan raya sebulan disebabkan puasa sebulan adalah rekaan semata-mata. Menariknya, yang lebih-lebih menyambut raya adalah mereka yang tidak berpuasa dengan sempurna. 

Lihatlah, di kalangan orang beriman, mereka menyambut hari raya alakadar saja. Mengambil perkara wajib saja dan menepati apa tuntutan agama seperti diajar oleh Rasulullah SAW.

Dalam ibadah korban pun sama. Kerana hendak melakukan ibadah korban, ada yang sanggup berhutang. Mereka berhutang bukan kerana kekuatan iman untuk melakukan ibadah korban, tetapi kerana telah menganggap ibadat korban perlu dilakukan setiap tahun, maka rasa janggal jika tidak dilakukan pada tahun itu. Itulah yang dikatakan, ibadah yang telah dijadikan adat dan ritual. 

Begitu juga, ada ibu bapa yang tidak mahu melakukan ibadat korban pada Hari Raya Haji atau Aidiladha jika anak-anak di perantauan tidak pulang. Itu bermakna ibadah korban dilakukan disebabkan kepada perkara atau musabab lain, iaitu anak pulang berhari raya. Itu juga dipanggil adat dan ritual yang diadakan setiap tahun kerana ada tujuan di sebalik perintah Allah.

Bagi yang mempunyai keluarga ramai, mereka melakukan ibadah korban seekor lembu. Itu satu yang amat dituntut yang bukan sahaja dapat melaksanakan ibadah korban, tetapi juga mengeratkan hubungan keluarga. Tetapi malangnya, apabila ada yang menganggap amalan itu sebagai satu yang ‘wajib’ dan rutin tahunan. Jika ada ahli keluarga yang tidak mahu melakukan ibadat korban tahun itu, dipandang serong atau seperti dipaksa untuk turut serta. Hingga yang tidak berkemampuan terpaksa berhutang.

Kerana itu timbullah amalan yang lebih bersifat adat dan ritual dalam keluarga. Mereka ingin ibadah korban itu nampak meriah dan hebat. Maka itu ada yang menetapkan agar ahli keluarga memakai baju yang sama warna, corak serupa dan sebagainya. Tudung, kasut, selipar dan sebagainya diambil kira untuk tujuan nampak meriah.

Mereka pentingkan kemeriahan sehingga melupakan yang wajib. Perkara yang disuruh agama tidak dilakukan, sedangkan yang tidak dituntut diperbezar-besarkan. Apa saja akan dilakukan asalkan nampak meriah dan hebat. 

Inilah akibatnya apabila lebih mementingkan kemeriahan berbanding tujuan melaksanakan ibadat. Ibadat telah bertukar menjadi adat dan ritual. Sebab itu, ketika melakukan sesuatu ibadat lain, mereka terlupa telah melakukan dosa lain. Atau tidak peduli, tidak ambil kisah atau membiarkan diri tidak melakukan suruhan yang sepatutnya lebih diutamakan.  

No comments:

Post a Comment