Sunday 5 June 2016

Cara lafaz niat puasa Ramadan

Niat adalah perkara asas menentukan kedudukan perkara dilakukan. Apa maksud niat? Dari bahasa ia bermaksud kehendak hati atau tujuan hati. Manakala mengikut istilah pula ialah gerak hati melaksanakan sesuatu perkejaan dengan tujuan mencari keredhaan Allah SWT.

Kenapa niat penting? Pertamanya untuk bezakan ibadat dengan adat. Keduanya untuk tentukan qasad amal adakah untuk Allah atau lainnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

Adakah niat mesti dilafazkan? Seperti dijelaskan apa itu niat sama ada mengikut bahasa mahupun istilah, niat adalah berkaitan di dalam hati. Jadi tidak perlu niat itu diucapkan atau dilafazkan.

Namun, dalam amalan masyarakat di Malaysia, niat berkaitan ibadat khusus dilazimkan dengan ucapan sekali seperti niat puas, niat zakat dan niat sembahyang.  

Perkara ini dilakukan bagi 'memperkuatkan' dan 'menjelaskan' niat itu. Jadi, sebenarnya untuk niat puasa mahupun niat-niat lain hanya memadai dengan apa yang terdetik di hati kita mengikut apa yang kita faham terhadap perkara itu.  
Niat tidak perlu mengikut atau menggunakan bahasa Arab. Cukup dan memadai apa yang kita faham dengan tujuan niat itu.  

No comments:

Post a Comment