Saturday, 7 January 2017

CARA MUDAH HENTI MEROKOK

Cara berhenti merokok. Ramadan masa terbaik peluang bantu henti merokok.  Ambil kelebihan puasa tinggal perbuatan bahaya itu.  Bagi perokok yang benar-benar ingin berhenti merokok, ketibaan bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik.    

Kelebihan pertama mengapa lebih mudah menghentikan tabiat merokok pada bulan Ramadan ialah perbuatan itu termasuk perbuatan membatalkan puasa.  Justeru, sepanjang waktu siang pada bulan Ramadan semua orang berpuasa tidak merokok. 

Hakikatnya, perokok yang berpuasa boleh menahan diri daripada merokok dalam tempoh masa kira-kira 12 jam. 

Ini membuktikan tabiat merokok sebenarnya boleh dihentikan jika dilakukan dengan kekuatan iman dan kesedaran ‘tidak’ boleh merokok. 

Sekiranya ketika tidak berpuasa amat sukar untuk menahan diri daripada merokok dalam tempoh tiga jam, tetapi semasa berpuasa boleh dilakukan sehingga 12 jam.  Hakikatnya itu membuktikan satu kejayaan mengatasi  kesan yang biasa dirasai apabila tidak merokok.     

Jelas sekali kejayaan itu dilakukan dengan kekuatan minda dan perasaan.  Ketika berpuasa, minda dan perasaan ‘bersatu’ mengatakan tidak boleh merokok.  Jadi keinginan merokok secara tidak langsung hilang.    

Ini menunjukkan cara berkesan menghentikan ketagih merokok bergantung kepada kekuatan semangat dan keupayaan menangkis godaan syaitan. 

Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan cara menggalakkan melakukan perbuatan mendatangkan keburukan.  Merokok adalah antara perbuatan paling disukai syaitan agar manusia melakukannya. 

Jika perokok berjaya menahan diri daripada merokok sepanjang hari, rasanya tidak sukar untuk diteruskan selepas waktu berbuka.  Tindakan pertama perlu dilakukan ialah meneruskan azam dan semangat untuk tidak merokok.  

Sekiranya 12 jam mampu bertahan, mengapakan tidak dilanjutkan untuk beberapa jam lagi sebelum tidur.  Usaha ini sebenarnya tidak sukar dilakukan memandangkan waktu malam bulan Ramadan dipenuhi dengan ibadat. 

Sebagai contohnya, selesai makan berbuka puasa, diteruskan pula dengan menunaikan sembahyang Maghrib.  Elakkan daripada memberi ruang masa untuk memikirkan tentang keinginan merokok. 

Selesai sembahyang, berdoalah agar dapat menghentikan tabiat merokok.  Sesungguhnya doa dan usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan mudah dimakbulkan Allah SWT. Allah mencampakkan kekuatan dalam diri untuk mempermudahkan usaha murni itu.  

Selesai sembahyang Maghrib dilakukan pula persiapan ke masjid untuk bersembahyang Isyak dan kemudian diikuti sembahyang tarawih.  Masanya sembahyang Isyak dan sembahyang tawawih agak panjang sehingga lebih daripada sejam. 

Selesai sembahyang tarawih, di kebanyakan masjid meneruskan dengan tadarus membaca al-Quran.  Paling kurang mengambil masa sejam lagi.

Selesai tadarus, waktu sudah hampir pukul sebelas malam.  Apabila pulang ke rumah, sudah hampir waktu tidur. 

Jangan biarkan fikiran dan perasaan ingin kepada rokok.  Jika terasa ingin merokok, cepat-cepat masuk tidur atau meneruskan ibadat sunat lain.  Semoga anda berjaya berhenti merokok dan mulakan Aidilfitri dengan azam untuk terus tidak merokok.

No comments:

Post a Comment