Tuesday, 5 May 2026

KEUNIKAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGERI SEMBILAN

 
Sistem beraja (Yang Dipertuan Besar) Negeri Sembilan memang unik. Apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 diwujudkan, Negeri Sembilan mengekalkan struktur tradisionalnya. Malah Negeri Sembilan telah mengamalkan sistem persekutuan beratus tahun lebih awal.  

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 diadakan, Negeri Sembilan menghantar seorang  Yang Dipertuan Besar, empat Orang Undang dan seorang Tuanku Besar Tampin sebagai Raja dan Raja Bersama (Co-Ruler) bagi Negeri Sembilan.

Itu punca kuasa pertama yang membawa kepada jaminan Perlembagaan moden terhadap kedudukan pembesar adat di negeri ini. Manakala, Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 menguatkan lagi perbezaan Negeri Sembilan berbanding negeri-negeri lain.

Yang Dipertuan Besar, Undang nan Empat dan Tuanku Besar Tampin adalah raja dan penguasa tertinggi di wilayah masing-masing.

Pengangkatan dan penurunan pembesar dibuat melalui proses kebulatan. Daripada anak buah kepada Buapak kepada Lembaga kepada Penghulu / Undang dan kepada Yamtuan. Proses mencabut pesaka / memecat atau menurunkan pembesar juga dilakukan oleh proses sama.

Yamtuan jelas diangkat oleh Undang. Manakala, Undang diangkat oleh lapis-lapis yang bermula daripada anak buah. Seorang Undang bertaraf raja (dipersalinkan kuning, dihamparkan laluan kuning) dalam majlis rasmi, boleh datang daripada hierarki terbawah. Asal sahaja, kebulatan daripada Lembaga atau Waris mengangkat dia sebagai Undang.

Adat Perpatih "bernasab kepada Ibu, berbaka kepada ayah",. Maka lahirlah "ibu soko" berperanan sebagai "pengecam" anak buah supaya jelas daripada keturunan yang sama.

Menariknya, setiap luak ada adat dan peraturan yang berbeza. Tiada piagam piawai yang disepakati oleh setiap luak. Terdapat tradisi atau amalan setiap luak dengan pelbagai versi penafsiran daripada masing-masing.

Adat diwariskan secara ingatan kolektif, dipindahkan kepada pemegang amanah daripada kalangan pemimpin yang mewakili anak buah.

Manakala, di setiap luak pula memakai aturan yang berbeza sesuai perbilangan "seadat tidak seresam". Setiap luak bersetuju memakai adat berkebulatan (tidak kira mereka menamakan adat perpatih atau adat purbakala), tetapi ada peraturan kecil berbeza menurut "alur dan patut" dan "ruas dan resam" setiap luak yang berdaulat itu.

No comments:

Post a Comment