Wednesday 18 November 2020

FESYEN TUTUP AURAT LEBIH CANTIK

 
Fesyen tutup aurat kelihatan lebih cantik dan menarik. Makin ditutup semakin menarik. Jika mendedahkan aurat dikatakan cantik, maka sudah tentu bogel terus atau hanya tutup bahagian kemaluan dikatakan menarik. Untuk tutup aurat, pereka fesyen perlu kreatif dan memahami elemen cantik dalam fesyen. 
 
Sebenarnya, Islam memberi kebebasan memilih fesyen pakaian asalkan menutup aurat. Namun, tidak pula kebebasan itu bersifat mutlak yang tiada garis panduan. 
 
Islam telah menetapkan garis panduan cara berpakaian, apa yang boleh dan perkara yang diharamkan. Ketetapan ini ada hikmah di sebaliknya. 
 
Pakaian adalah sebahagian nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Anugerah pakaian amat besar maknanya yang membuktikan keistimewaan manusia. Tidak ada makhluk lain yang memerlukan pakaian sebagai perhiasan. 
 
Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhaisan. Dan pakaian takwa itulah paling baik. Semua itu adalah antara sekian banyak tanda (kurniaan Allah), supaya mereka ingat (akan kurniaan-Nya)” (Surah al-Araf, ayat 26) 
 
Antara batasan yang ditetapkan syariat berkaitan pakaian dan perhiasan, hendaklah tidak menunjukkan kesombongan, tidak riak, hendaklah menutup aurat dan melambangkan jantina pemakainya (yakni perempuan ditegah memakai pakaian menyerupai apa yang dipakai lelaki dan sebaliknya). 
 
Islam menegah menunjuk-nunjuk kekayaan dengan emas. 
 
Al-Bara meriwayatkan, katanya: “Rasulullah SAW menyuruh kami tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda menyuruh kami mengikuti jenazah, melawat orang sakit, menghadiri jemputan, menolong orang yang teraniaya, membenarkan sumpah, menjawab salam, menjawab dan berdoa kepada orang yang bersin." 
 
"Dan Rasulullah SAW melarang tujuh perkara; baginda melarang kami dari (makan/minum) dalam bekas perak, cicin emas, sutera, dibaj (sutera bergambar), qissi (sutera campur kapas) dan sutera tebal.” (Riwayat Bukhari)."  
 
Utamakan fesyen menutup aurat kerana ia menjaga maruah dan menjauhkan perkara buruk. Para wanita yang mendedahkan aurat dikira bersikap murahan. Memberi orang lain melihat apa yang sepatutnya tidak dikongsikan bersama orang lain.   
 
Begitu juga suami yang membenarkan isterinya berpakaian seksi atau mendedahkan aurat boleh dianggap dayus kerana membenarkan lelaki lain berkongsi isteri, melihat dan menikmati apa yang sepatutnya hanya miliknya seorang.

No comments:

Post a Comment