Tuesday 7 January 2020

CARA MEMBUAT TAPAI UBI KAYU

Tapai ubi kayu satu produk berasal dari ubi kayu yang melalui proses kukus atau rebus dan peram. Tapai ubi adalah satu produk hasil daripada 'proses penapaian' yang telah berlaku semasa pembuatan tapai.

Rasa tapai ubi kayu yang sangat manis, lembut dan memberikan tenaga dikategorikan sebagai salah satu konsep bioteknologi makanan yang diiktiraf oleh para saintis sebagai sejenis makanan yang sangat baik dan menyihatkan tubuh badan.

Lazimnya di Malaysia ubi black twig dan beberapa varieti popular lain boleh digunakan asalkan saiz ubi dan umur pokok ubi sesuai. 
 
Sebaiknya gunakan ubi segar yang baharu digali dari kebun kerana jika ubi telah dituai lama kandungan kanji dan gula dalam ubi akan berkurang dan ini menjejaskan kualiti tapai ubi.

Buang kulit sehingga bersih dan potong sepanjang 5 -10 cm (mengikut kesesuaian) kemudian basuh dengan air bersih. Jika saiz ubi agak besar perlu dibelah-belah agar mendapat saiz yang optima untuk membuat tapai.

Rendam ubi tersebut dalam air bersih selama 1-2 jam untuk mempastikan ubi kayu akan empok apabila direbus atau dikukus. 
 
Kemudian kukus ubi kayu selama 30 minit - 1 jam sehingga betul-betul telah empok.

Sejukkan ubi tadi selama beberapa jam sebelum proses membubuh ragi. Peranan ragi adalah untuk menapaikan kandungan karbohiderat dalam ubi kayu untuk dijadikan gula selama dua hingga tiga hari.

Ada kalanya tapai tidak menjadi kerana ragi yang digunakan telah tidak aktif menyebabkan tapai akan terus keras dan akhirnya busuk dan perlu dibuang. Proses membubuh ragi sangat penting agar cukup rata.

Masukan ubi kayu ke dalam bekas yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Pastikan suhu sekitar 27-30 Celcius dan diletakkan di kawasan berbumbung. 
 
Ubi kayu yang diperam akan 'masak' dan menjadi tapai ubi kayu setelah dua hingga tiga hari diperam.

Tapai sesuai dimakan segar setelah cukup proses penapaian dan sangat manis. Jika air tapai dikumpulkan boleh dibuat minuman alkohol (air tapai).

Tapai yang berkualiti berwarna putih cream, lembut, berbau atau aroma segar dan rasa manis yang sedap.

Tapai ubi didapati memberikan kesan sampingan yang amat baik untuk mencegah serangan penyakit kanser.

Bakteria Lactobacillus plantarum (UL4) menghasilkan bactericin iaitu sejenis toksin yang menghalang pertumbuhan sel kanser.

Tapai ubi juga boleh digoreng dengan menyalut dengan tepung. Rasanya enak dan manis serta sesuai dihidangkan pada waktu petang.

No comments:

Post a Comment