Friday 25 May 2018

PRODUK LELAKI DICEMARI SILDENAFIL

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan banyak produk lelaki gagah mengandungi atau dicemari dengan ubat sildenafil. Kebanyakkan produk ini adalah diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman tambahan.

Sildenafil sejenis ubat tergolong dalam kumpulan farmakologi Phosphodiesterase 5 (PDE5) yang merupakan ubat pertama diluluskan untuk merawat masalah gangguan ereksi atau mati pucuk dalam kalangan lelaki dewasa.

Penemuan sildenafil sebagai ubat mati pucuk berlaku secara tidak terancang. Sildenafil pada asalnya dibangunkan oleh syarikat inovator untuk rawatan penyakit tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Semasa ujian klinikal, penyelidik mendapati bahawa ubat tersebut lebih berkesan untuk mengatasi masalah gangguan ereksi daripada rawatan sakit jantung. Oleh itu pada tahun 1998, Food and Drug Authority (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan sildenafil sebagai ubat untuk rawatan mati pucuk.

Mungkin ada mempersoalkan, kalau sildenafil telah diluluskan sebagai ubat merawat lemah tenaga batin, mengapa pula dilarang digunakan dalam pemakanan tambahan atau produk meningkatkan prestasi tenaga batin?

Sebenarnya sildenafil hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi (surat ubat daripada doktor).

Ubat sildenafil ini hanya boleh didapati melalui pemeriksaan doktor adalah kerana kesan sampingnya terhadap fungsi jantung yang boleh membahayakan kesihatan malah boleh membawa maut kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan.

Dengan kata lain, penggunaan sildenafil yang tidak merujuk kepada doktor boleh mendatangkan bahaya. Maka, sebab itu ia dilarang digunakan tanpa pengawasan pakar.

No comments:

Post a Comment