Tuesday 19 September 2017

DITEGAH BUKA AIB ORANG

Jangan suka buka aib orang, kerana nanti Allah buka aib kita di akhirat. Membuka aib orang termasuk perbuatan mengumpat, sedangkan perbuatan itu amat buruk akibatnya. Allah tidak mengampun dosa mengumpat, melainkan orang diumpat itu memberi ampun. Daripada membuka aib orang, baik kita muhasabah diri sendiri. Bahkan besar manfaatnya jika kita menutup kesalahan orang lain. 

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat." (Sahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078).

Aib adalah suatu cela yang tidak baik tentang seseorang. Jika diketahui oleh orang lain, akan membuat rasa malu. Rasa malu ini membawa kepada kesan psikologi yang negatif jika tersebar.

Ajaran Islam melarang keras aib seseorang diceritakan. Tidak boleh sekali-kali menyebarkan tentang apa atau bagaimana keadaan yang tidak baik tentang seseorang. Bahkan, Islam mengajarkan untuk menutupinya.

Allah berfirman dalam Surat Al Hujarat ayat 12 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, kerana sesungguhnya sebagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan aib orang lain; dan janganlah kamu mengumpat sebagian yang lain. Apakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh karena itu, jauhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Perbuatan mendedahkan aib atau perbuatan buruk orang lain tanpa alasan munasabah, terutama sekali di media sosial memang memberi kesan buruk dalam hubungan sesama manusia. Rakan bergaduh kerana disebabkan ada rakan mendedahkan aib rakannya itu.

Jika ada sesuatu yang ingin ditegur atau ditegah daripada terus berlaku, elok dilakukan terus kepada orang berkenaan. Beri nasihat atau teguran agar perbuatan itu tidak terus dilakukan. Jika tidak mampu dilakukan sendiri, boleh minta pertolongan orang lain untuk menegur perbuatan buruk seseorang.

Islam hanya membenarkan mendedahkan keburukan orang lain sebagai satu bukti apabila di hadapan mahkamah atau untuk mencari kebenaran. 

No comments:

Post a Comment