Individu
kehilangan banyak darah akibat luka, kemalangan, ibu bersalin, pembedahan dan
sebagainya perlu dipindahkan atau dimasukkan darah yang didermakan oleh
individu lain. Individu kehilangan darah
mungkin berdepan ancaman maut jika tidak menerima darah yang mencukupi.
Dengan
kata lain, menderma darah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa mereka yang amat
memerlukan bantuan. Setitik darah yang
didermakan bakal menyelamatkan nyawa.
Justeru,
lebih banyak penderma darah perlu tampil untuk menderma darah. Bakal penderma tidak perlu bimbang tentang
keselamatan diri sendiri akibat menderma darah.
Menderma
darah bukan sahaja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu
amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah menderma darah,
terlebih dahulu tahap kesihatannya diperiksa bagi memastikan tidak ada kesan
buruk selepas menderma darah.
Proses
menderma darah amat mudah dan mengambil masa amat singkat. Penderma darah
tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma
darah. Perasaan relek dan puas lahir dalam diri setiap kali dapat menderma
darah.
Hakikat
menderma darah tidak membahayakan diri dan tidak mendatangkan kesan sampingan
tidak perlu diragui. Di negara kita sudah ramai menderma lebih 100 kali
dan keadaan mereka masih sihat.
Mereka
terus setia menjadi penderma darah dan tidak pernah mengharapkan balasan atas
apa yang dilakukan. Bahkan, mereka tidak
mengenali dan tidak pernah ambil peduli kepada siapa darah mereka didermakan
atau dipindahkan.
Bersimpatilah
kepada mangsa yang amat memerlukannya dan bayangkan anda sendiri
memerlukannya.
Bagaimana
perasaan pada masa amat memerlukan darah yang menentukan hidup mati, tetapi
tidak sesiapa sudi mendermakannya. Jadikan amalan menderma darah sebagai
satu perkara yang diutamakan.
Sebenarnya,
tidak rugi mendermakan darah kerana ia akan diganti secara automatik oleh
badan. Penderma darah tidak berasa kekurangan darah akibat menderma
darah. Kuantiti darah yang didermakan
atau dikeluarkan dari badan penderma tidak memberi kesan buruk kepada diri
penderma darah.
Sesungguhnya
amat besar pahala mereka yang melakukan kebaikan dengan cara apa sekalipun,
lebih-lebih lagi dalam perkara penting yang menentukan hidup mati.
Renungkan
firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud: “Sesiapa
yang membuat kebajikan walaupun sebesar zarah, pasti akan diberi pembalasannya,
dan sesiapa juga membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, akan juga mendapat
pembalasannya,”
Manakala
sabda Rasulullah pula bermaksud: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan
saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa
yang melepaskan kesulitan seorang muslim, maka Allah melepasngkan pula
kesusahnnya kelak pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap
orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses
pendermaan cara biasa.
Bagaimanapun,
jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan
kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan
menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara
biasa.
Melalui
kaedah Aferesis, darah dari badan penderma akan terus masuk ke dalam mesin yang
akan mengasingkan sel darah merah dari plasma dan platelet. Plasma dan platelet
akan dikumpul di dalam beg berasingan. Manakala sel darah merah akan
dikembalikan atau masuk semula ke dalam badan penderma.
Banyak individu yang memberi alasan tidak mahu menderma
darah. Kononnya perasaan takut, tidak sihat, sibuk, telah menderma
sebelum itu dan pelbagai alasan lain diberikan. Semakin banyak alasan
yang diberikan, lebih banyak pesakit yang menderita.
Contohilah mereka yang telah lama menjadi penderma darah.
Bersama-sama mereka membantu mangsa yang amat-amat memerlukan bantuan anda.
No comments:
Post a Comment