Kita terpaksa mengakui sikap suka membaca dalam
kalangan rakyat Malaysia masih tidak boleh dibanggakan. Kajian profil membaca
rakyat Malaysia pada 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapat secara
purata rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding 1996 yang hanya dua
muka surat setahun.
Kajian Olahan Semula
Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa rakyat
Malaysia yang berusia 10 - 40 tahun membaca sebanyak 8 - 12 buah buku setahun.
Kajian yang sama
mendapati mereka yang lebih berumur membaca 6 buah buku setahun. Secara amnya
angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding purata hanya dua buah
buku setahun yang dicatatkan dalam kajian pada tahun 2005
Jika pada tahun-tahun
90an, buku-buku bukan akademik yang dicari adalah buku-buku agama, pada
tahun-tahun 2000 bacaan novel menjadi bahan bacaan pilihan yang paling popular.
Ia diikuti dengan buku-buku motivasi, masakan, deko, kesihatan dan akhir-akhir
ini, minat membaca masyarakat nampaknya sudah kembali semula kepada buku-buku
agama.
Tidak dinafikan terdapat golongan yang membaca
namun mereka hanya membaca bahan berbentuk hiburan dan santai.
Buku yang berbentuk akademik atau pengetahuan
tidak mendapat sambutan. Perkara ini
menyebabkan penulis dan penerbit kurang berminat untuk mengeluarkan buku
berbentuk pengetahuan.
Dana Penerbitan Penggerak Industri Buku Negara
yang disediakan oleh kerajaan diharapkan dapat meningkatkan jumlah penerbitan
buku judul baharu karya asli berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang dan untuk
pelbagai peringkat pembaca.
Bantuan Baucar Buku 1Malaysia yang diberikan
kepada pelajar tingkatan 6 dan pusat pengajian tinggi biarpun meningkatkan
pembelian buku, tetapi tidak ketara berjaya meningkatkan minat membaca. Banyak baucar buku ditebus semata-mata tidak
mahu luput begitu saja.
Pada tahun
1995 dilaporkan 9 juta naskhah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam
pelbagai bidang tersadai di dalam stor sama ada ia tidak terjual ataupun tidak
laku. Biarpun kisah itu berlaku
kira-kira 20 tahun lalu, hakikatnya keadaan masih tidak banyak berubah sehingga
sekarang.
Terdapat teori mengatakan pemupukan minat membaca
tidak semestinya terus menggunakan buku atau bahan bacaan serius. Jangan ditegah atau dicemuh mereka yang minat
membaca majalah berbentuk hiburan dan gosip atau santai saja.
Amalan itu lebih baik daripada mereka tidak minat
membaca langsung. Tambahan pula,
kandungan majalah kini dipelbagaikan yang turut menyelit rencana berbentuk pengetahuan
dan agama.
Kita mengharapkan budaya membaca dapat ditingkat
tanpa mengira apa tahap bahan bacaan itu.
Membaca majalah atau akhbar picisan juga mencetuskan gelombang budaya
membaca dan diharapkan mereka kemudian berubah membaca bahan yang lebih serius
dan berbentuk keilmuan.
Penerbit majalah dan akhbar picisan diharapkan
dapat menyelit atau memperbanyakkan bahan berilmu dan bermaklumat di dalam
penerbitan mereka.
No comments:
Post a Comment