Tuesday 29 November 2016

Ada sungai arak di syurga

Arak disebut sebagai khamar dalam bahasa Arab. Di dalam syurga ada sungai arak. Segala keinginan penghuni syurga akan disediakan, termasuk arak. Syurga adalah tempat nikmat. Antara nikmat dalam syurga ialah arak sebagai minuman.

Nas al-Quran dalam surah Muhammad ayat 15 menjelaskan sungai arak wujud bersama dengan sungai susu, sungai madu dan sungai air. Dalam nas al-Quran ini, tidak dinyatakan perbezaan antara arak syurga dan arak dunia. Cuma disebutkan bahawa arak ini adalah lazat. 

Firman Allah SWT bermaksud: "(Apakah) perumpamaan (penghuni) syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?" (Surah Muhammad, ayat 15)

Sudah pasti arak di syurga ini bukanlah arak yang memudaratkan sebagaimana arak di dunia. Arak dunia memabukkan. Banyak kesan negatif kerana minum arak. 

Namun arak syurga adalah arak yang lazat, tidak memberi kesan negatif. Mungkin timbul persoalan kenapa wujud arak di syurga?

Tidakkah arak itu haram? Ya arak adalah haram. Namun hukum haramnya hanya setakat dunia sahaja. Adapun di syurga nanti, hukumnya berbeza. 

Arak diharamkan di dalam Islam kerana banyak memberi keburukan dari segi fizikal, rohani, ekonomi dan masyarakat. 
 
Oleh sebab itu, meminum arak juga dianggap satu amalan tidak baik oleh penganut agama lain serta pakar psikologi dan sosialogi. 

Ini telah banyak dibuktikan melalui kajian-kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukan kebenaran yang jelas bahawa sesetengah jenayah dan keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca dari gejala arak.

Meminum arak boleh membawa akibat-akibat yang sangat buruk terhadap diri peminum, keluarga dan masyarakat.

Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol terhadap kesihatan dan perhubungan sosial, bagi individu yang meminum arak iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu.

Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol.

Namun, malang sekali perkara itu dipandang mudah sehingga minuman keras menjadi kebiasaan muda-mudi, meneguknya di mana-mana tanpa malu dan segan lagi, halal dan haram dipandang sepi, asalkan nikmat sementara dirasa sesekali.  

Hakikatnya, arak bukan perkara yang mendatangkan kebaikan, kecuali dalam beberapa situasi. Namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan kepada pengambilan arak kerana kesan buruknya lebih besar. 

Perkara ini dijelaskan Allah SWT melalui firman yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu khamar (arak) dan judi. Katakanlah pada keduanya dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah Baqarah ayat 219)

Sesungguhnya meminum arak daripada pada amalan syaitan yang mana sudah pasti tidak memberi apa-apa kebaikan, melainkan bertujuan untuk mendatangkan kebaikan.  

Syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk merosakkan manusia, termasuklah perbuatan meminum arak. Sesiapa ingin mencapai kejayaan dalam hidup hendaklah meninggalkan perbuatan disuruh oleh syaitan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah ayat 90)

No comments:

Post a Comment