Tuesday 29 November 2016

KISAH KORBAN AKIBAT FITNAH

Kisah pengajaran akibat fitnah. Kesan fitnah boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Bahkan, kesan fitnah boleh berakhir dengan pembunuhan.

Kisahnya, Rusa bekerja di sebuah ladang di hujung kampung. Rusa terkenal amanah, gigih, tekun dan kuat kerja. Namun, terkadang-kadang dia juga mengalami keadaan fizikal tidak baik, itupun kerana terlalu kuat bekerja.

Pada suatu hari, Rusa terasa dirinya terlalu letih setelah seminggun bekerja dengan gigih menyiapkan kerja yang diamanahkan oleh bosnya. 

Sepulang dari sawah, Rusa terus terbaring di kandang dengan wajah penat dan nafas yang berat. Rusa berkata pada Anjing yang kebetulan datang melawatnya: “Kawan, aku sangat penat hari ini. Besok aku nak rehat dan tidak mahu pergi kerja. Tambahan pula kerja yang bos suruh itu telah aku siapkan"

Anjing berjumpa Kucing di sudut tembok.  Lalu Anjung menceritakan kepada Kucing hal keadaan Rusa: "Tadi saya berjumpa Rusa, katanya besok dia ingin berehat dulu. saya rasa sudah sepatutnya, sebab bos bagi kerja yang terlalu berat kepada Rusa."

Kucing kemudian bercerita kepada Kambing: "Rusa komplain bos bagi kerja terlalu banyak dan berat, jadi besok dia tidak mahu kerja."

Kambing berjumpa Ayam: "Khabarnya Rusa tidak seronok bekerja dengan bos. Mungkin ada bos lain yang lebih baik."

Ayam pula bercerita kepada Monyet: "Rusa tak akan kerja untuk bos lagi dan ingin mencari kerja di tempat bos yang lain."

Ketika makan malam, Monyet berjumpa bos: "Bos, tolong ajar si Rusa tu, akhir-akhir ini dia telah berubah. Dia ingin meninggalkan bos untuk bekerja dengan bos lain."

Mendengar ucapan Monyet, bos berasa marah dan tercabar. Tanpa usul periksa, lalu bos terus mengarahkan agar Rusa dibunuh segera kerana telah mengkhianatinya. 

Moga kisah ini menjadi pengajaran kepada semua.  Jangan mudah mendengar khabar angin yang tidak jelas. Berita yang disampaikan secara berperingkat dari satu orang ke satu orang yang lain mungkin telah berubah maksud asalnya. Lebih-lebih lagi jika memang orang yang menyambungkan berita itu telah mempunyai niat untuk mengubahnya. 

Ingatlah, sepatah yang kita dengar dan kemudian disampaikan kepada orang lain adalah satu fitnah yang akan menyebabkan kecelakaan yang besar. 

Allah SWT telah memberi peringatan tentang bahaya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” 

No comments:

Post a Comment