Tuesday 29 November 2016

Dakwah kepada golongan muda

Golongan muda perlukan bimbingan untuk terus melayari kehidupan yang berpaksikan kepada kehendak agama  Kaedah biasa bimbingan dilakukan melalui komunikasi bersemuka atau menghadiri kelas khusus yang diadakan di sekolah, institusi latihan, masjid dan seumpamanya. 

Biasanya golongan muda yang menyertai kelas seumpama itu agak terhad.  Mereka merasa tidak selesa atau tidak berkesempatan untuk menghadirinya.  

Tambahan, memang situasi biasa orang tidak suka kepada sesuatu yang diadakan secara formal kerana mereka sukar untuk memberi komitmen dan pengurusan masa. 

Jadi, cara alternatif perlu disediakan untuk menjadi medan golongan remaja boleh mendapat sesuatu yang bermunafaat untuk dijadikan panduan hidup.  Umum diketahui, satu platform paling sesuai untuk berkomunikasi dan mendekati golongan muda ialah di alam maya atau hubungan melalui internet. 

Pendakwah mesti melakukan anjakan paradigma dalam melakukan usaha dakwah secara maya agar mereka dapat berada di ‘tempat’ di mana remaja dan gologan muda berada.  

Ini bersesuaian dengan hobi golongan muda yang lebih banyak menghabiskan masa di laman maya.  Mereka mengembara di alam maya dari satu ruang ke satu ruang lain yang menyajikan pelbagai bentuk seperti hiburan, maklumat, ilmu dan menjalinkan hubungan sosial.

Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya alam maya untuk melakukan dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan sasaran dakwah.  

Dakwah maya lebih terbuka dan tidak mensyaratkan seorang pendakwah tersebut mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam yang banyak. 

Sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah di alam maya asalkan ada kemahuan dan keikhlasan. Sampaikan walaupun hanya sekelumit ilmu.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sampaikan daripadaku walaupun hanya satu ayat." (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)

Namun perlu diingat, mereka yang ingin menjadi pendakwah di alam maya perlu menilai keupayaan diri sendiri.  Lakukan dakwah mengikut kemampuan masing-masing.  

Jangan sekali-kali menulis di laman maya tanpa kemahiran dalam bidang berkenaan.  Ini bertujuan untuk mengelak perkara yang disampaikan itu menyalahi apa yang sebenarnya. 

Oleh itu orang yang berdakwah mestilah mempunyai ilmu tentang apa yang didakwahkan olehnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah denga hujah yang nyata (ilmu). Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang yang musyrik.” (Surah Yusuf 12: 108)


No comments:

Post a Comment