Monday 29 May 2023

IKAN KALOI SABAH BERHARGA MAHAL

Ikan kaloi merupakan ikan air tawar. Nama sainsnya adalah Osphronemus goramy. Ikan kaloi berbadan leper. Ikan kaloi hadup di dalam sungai berair tenang dan tasik. 

Makanan utamanya adalah tumbuh-tumbuhan, lumut dan juga serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing.

Ikan kaloi merupakan haiwan omnivor. Ikan ini akan makan apa sahaja dari jenis haiwan mahupun tumbuhan. Tetapi, semakin kaloi membesar, pemakanan kaloi lebih menjurus kepada tumbuh-tumbuhan. Antara tumbuhan yang menjadi kegemaran kaloi ialah daun keladi dan kangkung.
 
Ikan kaloi ada beberapa spesis seperti kaloi hitam, kaloi merah dan kaloi Sabah. Kaloi hitam dan kaloi merah dianggap “biasa-biasa”, tetapi kaloi Sabah dianggap ikan hiasan jenis mahal. Seekor kaloi Sabah berukuran 30 cm boleh mencecah harga sehingga melebihi RM2 ribu.
 
Ikan kaloi Sabah atau kaloi Kinabatangan banyak ditemui di Sungai Kinabatangan, Sabah.. Bentuk ikan kaloi Sabah menyerupai ikan kaloi biasa kecuali hujung sirip ekornya yang berwarna merah.
 
Warna badannya hitam kebiruan dan terdapat bintik-bintik berwarna merah bata. Di bahagian kepalanya terdapat bonggol berwarna biru tua dan berbibir tebal. Ikan jantan mempunyai warna yang lebih menarik.
 
Kebiasaannya ikan jantan akan membuat sarang daripada rumput-rumput kering di tepi kolam yang menyerupai sarang burung pipit berukuran garis pusat 30-40 cm.
 
Sekiranya telah terdapat telur melekat, sarang itu boleh diambil dan telurnya ditetaskan di dalam akuarium. Seekor induk betina dapat menghasilkan sehingga 3,000 biji telur.
 
Jenis kaloi ini agak cerewet penjagaannya dan memerlukan penjagaan yang rapi.

No comments:

Post a Comment