Monday 15 February 2021

CARA MENGHASILKAN PROPAGANDA BERKESAN

Perang propaganda adalah satu bentuk perang psikologi untuk mempengaruhi pengundi dan rakyat keseluruhannya tentang hebatnya pemimpin dan parti yang disokong, dan betapa teruknya pemimpin serta parti yang diserang.

Propaganda sering memilih perkara yang tidak sebenar ataupun menokok tambah agar menimbulkan maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi.

Hasil yang diingini ialah perubahan dalam penceritaan kognitif mengenai subjek oleh kumpulan sasaran untuk meneruskan agenda politik.

Propaganda ialah cubaan yang sistematik untuk membentuk persepsi, memanipulasi kognisi (proses mental untuk berfikir), dan mengarahkan kelakuan agar mencapai maklum balas yang melanjutkan tujuan yang diingini penyebarnya.

Propaganda dapat digolongkan menurut sumbernya:
- Propaganda putih - berasal dari sumber yang dapat dikenalpasti secara terbuka.
- Propaganda hitam - berasal dari sumber yang dianggap mesra akan tetapi sebenarnya berniat jahat atau mencetuskan permusuhan.
- Propaganda kelabu - berasal dari sumber yang tampak neutral tetapi sebenarnya bermusuhan.

Dalam era dunia siber, propaganda dilakukan oleh tentera siber atau cybertroopers. Mereka mempunyai kepakaran untuk mengeksploti sumber untuk mempengaruhi khalayak.

Tugasan tentera siber perlu melibatkan kerja berterusan dan melibatkan banyak petugas bagi memastikan keberkesanannya. Tidak memadai hanya dilakukan sekali sekala dan kerja seorang diri atau melibatkan kelompok yang kecil.

Mereka perlu melakukan tugas secara bersepadu dan serentak bagi memberi kesan yang maksimal. Sebab itu, dalam tentera siber perlu ada panglima yang akan menentukan kandungan dan sasaran yang diserang atau membuat pertahanan yang kukuh.

No comments:

Post a Comment