Tuesday 29 November 2016

MUSIM DURIAN SEPANJANG TAHUN

Durian buahan bermusim.  Jadi, bagi penggemar durian, mereka hanya boleh menikmati keenakan raja buah itu apabila tiba musim gugur durian. 

Namun, pada masa akan datang mungkin durian tidak lagi bermusim, atau musimnya lebih kerap dalam setahun. 

Kini terdapat usaha dilakukan pihak tertentu membangunkan lebih banyak ladang durian bagi mengembangkan lagi tanaman raja buah-buahan itu agar ia dapat diperoleh sepanjang tahun dan bukannya bermusim.

Melalui kajian dan penggunaan teknologi, khususnya benih yang baik, hasil durian dapat dinikmati sepanjang masa. 

Durian terdapat banyak varieti. Untuk mudah dikenali dan rekod, Jabatan Pertanian mendaftarkan di bawah huruf 'D'. Jadi semua varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian bermula dengan D dan diikuti nombor.  

Nombor itu tidak menunjukkan bilangan atau jujukan didaftarkan. Antara varieti telah didaftarkan ialah D24, D123 dan D197.

Namun tidak semua orang boleh makan durian kerana bau yang kuat dan boleh menyebabkan rasa panas badan. Ia banyak bergantung kepada amalan atau kebiasaan. Kalau tidak biasa, memang tidak suka makan durian.

Selain dimakan 'mentah', durian juga dimakan dengan pulut dan santan. Ia juga dicampurkan di dalam pengat atau bubur untuk mendapat rasa dan aromanya.  

Selain itu durian turut dijadikan perisa untuk aiskrim, dadih, kek, biskut, coklet dan sebagainya. Durian juga dijadikan lempok dan tempoyak.  

Kini isi durian juga dijadikan snek dalam bentuk seperti keropok. Selain itu durian turut dijadikan dalam bentuk sebuk, dingin beku dan pelbagai inovasi yang dilakukan MARDI, Jabatan Pertanian dan penyelidik dari pusat pengajian tinggi serta swasta.

Malah, sekarang ini biji durian juga telah dimanfaatkan dijadikan tepung yang dicampurkan untuk penghasilan keropok lekor.

Penggunaan durian untuk pelbagai produk dapat membantu pekebun memasarkan durian terutama ketika musim puncak ia gugur. Sebelum ini durian yang tidak laku dijual biasanya dijadikan lempok dan tempoyak saja. Akibat lebihan pengeluaran hingga ada pekebun membiarkan saja durian rosak di kebun.

Namun, sekarang ini keadaan tersebut jarang berlaku kerana kepelbagain kegunaan durian untuk menghasilkan pelbagai produk. 

No comments:

Post a Comment