Fitnah perbuatan terkutuk dan
sangat dicela oleh mana-mana agama. Tiada pihak mendakwa atau mengaku fitnah
boleh membawa kebaikan, melainkan orang itu telah hilang akalnya. Bahkan, jika
dia difitnah, cepat-cepat akan melakukan tindakan untuk mencegah fitnah itu
berterusan, termasuklah mengambil tindakan mahkamah.
Mengapa ketika melemparkan
fitnah kepada orang lain, tidak dirasakan betapa buruknya fitnah, sedangkan
apabila diri difitnah akan bertindakbalas menyalahkan orang lain.
Budaya fitnah tanda jiwa dan
hati sudah mati. Yang masih berkata-kata adalah syaitan yang menguasai diri.
Perbanyakkan mengingati Allah serta bertaubat dan melakukan amal kebaikan untuk
menghidupan semula hati yang mati itu.
Jangan suka-suka menabur fitnah
kerana akan menyesal nanti. Dosa melakukan fitnah tidak diampunkan Allah,
melainkan orang yang difitnah itu mengampunkan perbuatan itu.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6)
Firman ini memberi gambaran
bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih
dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi
unsur fitnah. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang
individu atau ahli masyarakat.
Ingatlah, orang yang sukan
menyebarkan fitnah tidak akan masuk syurga. Dosa besar yang dilakukan itu akan
membawanya ke neraka. Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya: “Tidak masuk syurga
orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis Rasulullah ini
menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang besar dan berat sehingga tidak
dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras
perbuatan fitnah. Kesan fitnah adalah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang
individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.
Maka itu, kita perlu menjauhkan fitnah dalam apa bentuk
sekalipun. Bercakaplah perkara yang benar, atau berdiam diri kerana itulah
cara terbaik untuk mengelak dosa mulut.
No comments:
Post a Comment