
Pada 4 Disember 1977, satu kes rampasan kapal terbang pertama dalam sejarah penerbangan Malaysia telah berlaku membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH653 yang telah meragut nyawa 100 penumpang di dalamnya.
Pesawat yang membawa penumpang dari Pulau Pinang pada jam 07.20 malam ini telah dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa
Subang. Bagaimanapun, kapal terbang ini telah dirampas dan diminta untuk
menukar destinasi ke Lapangan Terbang Paya Lebar di Singapura.
Difahamkan, 20 minit sebelum kejadian itu berlaku,
juruterbang yang bertugas telah memberi amaran dan memaklumkan kepada menara
kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang bahawa pesawat
Boeing 737 yang dipandunya itu telah dirampas oleh sekumpulan pengganas yang
membawa bahan letupan.
Juruterbang itu dikatakan telah meminta supaya pesawat itu mendarat di Subang dengan alasan mahu mengisi minyak, namun
permintaannya ditolak dan akhirnya terpaksa meneruskan penerbangan ke
Singapura.
Semua komunikasi dengan krew kapal telah terputus pada jam 08.15
malam dan segala yang berlaku di dalam pesawat tersebut hanya diketahui melalui
rakaman suara yang terletak di kokpit yang ditemui kemudian.
Penduduk di
Tanjung Kupang, Johor Bahru mengatakan mereka mendengar bunyi letupan kuat pada
jam 08.36 malam.
Tiada seorang pun antara 93 penumpang dan 7 krew kapal yang
terselamat.
Antara mangsa yang terkoban ialah Menteri Pertanian iaitu
Dato' Seri Ali Haji Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfudz
Khalid dan Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad.
Pelbagai masalah mula timbul apabila tiada saksi yang
terselamat dalam insiden tersebut, sekaligus gagal membuktikan bahawa kumpulan
pengganas terlibat dalam nahas tersebut.
Para penyiasat juga hanya meletakkan harapan pada kotak
hitam yang dijumpai beberapa minggu selepas nahas tersebut berlaku.
Hasil daripada siasatan yang dilakukan terhadap kotak hitam pesawat
MH653, satu laporan rasmi telah didedahkan setelah 9
bulan kejadian itu berlaku.
Dalam laporan tersebut, juruterbang dan seorang pegawai
penerbangan dikatakan telah ditembak oleh perampas sebelum pesawat
itu menjunam dan terhempas.
Bunyi tembakan sebanyak 3 kali dapat didengari dalam kotak
hitam yang mempunyai rakaman suara kokpit tersebut.
Suara seorang mangsa yang dipercayai juruterbang pesawat
berkenaan, G.K. Ganjoor turut kedengaran dengan rayuannya yang berbunyi "No, please, don't"
sebelum mangsa ditembak mati.
Dalam pada itu, kejadian tembakan itu dipercayai berlaku
semasa pesawat tersebut berada pada ketinggian 4,000 kaki yang dilihat sedang
bersiap sedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar, Singapura.
Walau bagaimanapun, satu lagi suara mangsa yang tidak
dikenal pasti turut kedengaran dalam pesawat itu dengan mengatakan "You bluff us"
sebelum bunyi tembakan itu berlaku.
Selain itu, satu bahasa asing juga didengari dalam rakaman
suara tersebut, namun status kewarganegaraan perampas itu tidak dapat disahkan.
Difahamkan, seseorang dipercayai cuba untuk memandu serta
mengawal pesawat tersebut setelah juruterbang pesawat itu ditembak.
Ekoran kejadian itu, pesawat MH653 itu telah
terhempas ke kawasan tanah paya.
Kesemua mangsa sukar untuk
dikenal pasti identiti kerana keadaan badan yang tercedera teruk.
Hasil perbincangan ketua daripada pelbagai agama
telah mencapai kata sepakat supaya semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tapak perkuburan khas yang terletak di Jalan Kebun
Teh, Johor Bahru.
Pengebumian yang melibatkan 100 mangsa itu dilakukan lima hari selepas kejadian.
Gambar - Anggota keselamatan mencari serpihan kecil akibat nahas pesawat.
No comments:
Post a Comment