Tuesday 13 December 2016

PENIPUAN SKIM PIRAMID CEPAT KAYA

Skim cepat kaya atau skim piramid menarik minat orang tamak menyertainya yang akhirnya menjadi mangsa tipu sehingga menyebabkan atau punca muflis.  

Kisah penipuan skim cepat kaya memang diketahui ramai kerana ia bukan perkara baru dan selalu didedahkan dalam media massa. Malangnya ramai yang masih tidak mengambil iktibar peristiwa pendedahan mangsa skim cepat kaya.  

Disebabkan tidak serik dan masih mempercayai skim cepat kaya yang menjanjikan perkara bukan-bukan, mereka rela ditipu dan menjadi mangsa.

Malah yang pelik ialah orang yang pernah ditipu dan masih rela ditipu untuk sekian kalinya. Mereka mengharapkan nasib kali ini lebih baik dan memberi keuntungan seperti yang dijanjikan. 

Paling ketara ialah penipuan berasaskan sistem piramid yang berselindung di sebalik jualan langsung. Mereka yang mengetahui kewujudan sistem piramid, tetapi masih meneruskan atas alasan dia berada di atas dan berpeluang mendapat keuntungan lebih tanpa mempedulikan nasib pelabur baru yang dibawa olehnya memasuki skim itu.

Perbuatan itu samalah dia merampas hak orang muslim lain. Sesungguhnya amat besar dosa yang dilakukan itu hingga menghalangnya memasuki syurga.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud: “Sesiapa merampas hak orang muslim dengan sumpah, dia wajib masuk neraka dan haram baginya syurga.” (Riwayat Muslim).

Maka berhati-hatilah dalam urusan mencari rezeki. Sebaik-baik cara mencari rezeki ialah dengan bersungguh-sungguh melakukan usaha, biarpun terpaksa berdepan dengan kesukaran. Allah menyediakan seluruh penjuru alam ini untuk dimanfaatkan oleh manusia. 

Tidak ada jalan mudah untuk berjaya.  Kita perlu berusaha gigih.  Belajarlah dengan mereka yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing.  Pasti mereka menceritakan perit maung sebelum mereka berjaya.

Maka itu, jika ada yang menjanjikan kejayaan dengan mudah, pasti ada yang tidak kena.  Kita berkemungkinan akan menjadi mangsa penipuan.  Orang lain akan mengambil kesempatan atas kebodohan dan ketamakan kita.

Perniagaan jualan langsung umumnya dan yang dijalankan secara MLM khususnya adalah salah satu bentuk perniagaan yang telah menyumbang kepada pendapatan individu dan ekonomi negara.

Perniagaan dalam kategori ini menjadi suatu landasan yang memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan isi rumah bagi menjana sumber mata pencarian secara tetap atau sampingan ke arah meningkatkan taraf hidup.

Antara ciri-ciri MLM ialah wujudnya barang untuk diniagakan.  Kita perlu menjual dan menaja orang lain untuk mengembangkan perniagaan.  Modal yang diperlukan kecil dan tidak ada paksaan untuk menyediakan wang yang banyak dalam jumlah tertentu.

Ini berlainan skim piramid yang mana perkiraan, pelan, pengendalian atau proses berantai yang bonus atau faedah diperoleh semata-mata atau terutamanya daripada perekrutan atau pengambilan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara oleh peserta.

Skim piramid atau skim cepat kaya adalah tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang (money game) iaitu downline yang baharu ditaja oleh upline akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari downline yang lain.

Skim piramid tidak mementingkan aspek penjualan. Sebaliknya pelan lebih memfokuskan kepada pencarian atau perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan bukan dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.

Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu semata-mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada penjualan barang atau perkhidmatan.

Pembelian wajib barang atau perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan dikenakan sebagai syarat untuk melayakkan seseorang mendapat bonus atau faedah ekonomi lain dalam skim terhadap pembelian atau jualan peribadi atau pembelian atau jualan ahli di bawahnya.

Peserta tidak diberi pilihan dan dikehendaki melakukan "inventory front-loading” iaitu membeli barang atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.

Pembelian pangkat atau pembelian lebih daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.

Syarikat yang menetapkan struktur pembayaran bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan peserta melangkau upline dengan tidak mengambil kira keupayaan dan usaha sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang bertentangan dengan hukum syarak.

Skim piramid mengandungi Unsur Penipuan, Penindasan, Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian Insentif

Sebarang unsur penipuan, penindasan, manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam usaha mencari ahli baharu semata-mata atau terutamanya untuk meningkatkan sasaran pencapaian kumpulan adalah ditegah oleh hukum syarak.

"Manipulasi" ertinya segala tindakan dan selok-belok untuk memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian orang lain tanpa disedari orang itu.

"Eksploitasi" ertinya perbuatan (tindakan) mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan dan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

Skim piramid juga mengandungi unsur paksaan yang bertujuan untuk mencari ahli baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus dan berhikmah tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau mendatangkan kegelisahan dan kegusaran kepada individu yang didekati.

Skim piramid mengandungi unsur pembaziran apabila pembelian dalam kuantiti yang banyak tanpa justifikasi yang wajar semata-mata untuk mendapatkan bonus yang ditawarkan tanpa mempunyai strategi pemasaran yang sewajarnya.  

Sepatutnya pembelian produk yang ditawarkan oleh syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan sebenar dan/atau keupayaan untuk menjual produk tersebut.

Satu lagi unsur skim piramid ialah menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha
Mana-mana syarikat jualan langsung yang menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian komisen/bonus tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi dan penjualan barang atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana mengandungi unsur riba.

Unsur lain yang perlu ditolak ialah apabila perniagaan mengandungi unsur syubhah. Dalam konteks perniagaan jualan langsung yang berteraskan multi-level marketing,syarikat hendaklah memastikan bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara yang tidak jelas atau syubhah dalam setiap aspek perniagaan tersebut meliputi pelan pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan yang dijalankan adalah mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam.

Rasulullah SAW bersabda bahawa perdamaian diharuskan di kalangan orang Islam kecuali perdamaian yang mengharamkan yang halal atau yang menghalalkan yang haram dan orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Prinsip saling reda-meredai penting dalam perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 29 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa sesungguhnya jual beli adalah berdasarkan konsep saling reda-meredai (kerelaan kedua-dua belah pihak). (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Penipuan dalam perniagaan amat ditegah dalam Islam. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah berjalan melalui satu timbunan makanan lalu baginda memasukkan tangannya dalam timbunan tersebut maka tersentuh jari-jarinya sesuatu yang basah, lalu baginda bertanya kepada tuan makanan tersebut, “Apa ini?” Lalu dia menjawab, “Makanan itu terkena air hujan”, Rasulullah lantas berkata, “Tidak bolehkah kamu meletakkan yang basah itu di atas sehingga orang dapat melihatnya,” kemudian baginda bersabda, “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Mereka yang menjalankan perniagaan dengan jujur akan sentiasa diberkati.  Sabda Rasulullah SAW: “Pembeli dan penjual mempunyai hak khiyar (pilihan untuk meneruskan akad atau pun tidak) selagi mana mereka belum berpisah. Sekiranya mereka berkata jujur dan menjelaskan (kondisi barang dan harganya) dalam jual-beli, kedua-duanya akan diberkati. Namun sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan (perkara yang sebenar), maka dihapuskan keberkatan jual beli mereka.‟ (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)  

Monday 5 December 2016

CARA HALANG SYAITAN DEKATI ANAK

 
Halang syaitan dekati anak.  Didik anak dengan kasih sayang.  Mendidik anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa. Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah. Sebagai ibu bapa, kita perlu ingat, anak-anak adalah amanah Tuhan kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya.

Mereka lahir seperti kain yang putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat celanya. Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna tertentu. Dalam membesarkan anak-anak, pelbagai kesilapan dilakukan tanpa kita sedari. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan mengenai aspek keibubapaan.

Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.  

Salah satu cara mendidik ialah mewujudkan suasana kehidupan keluarga berdasarkan amalan muslim.  Ketika membaca ayat al-Quran, lakukan berhampiran bayi.  Bacaan ayat suci al-Quran menghalang syaitan mendekati anak-anak.  Amalan itu juga akan tersemai di dalam diri anak-anak dan menjadi amalan apabila dewasa.  Justeru, jangan kita abaikan didikan agama untuk anak-anak.

Ibu bapa juga perlu memberitahu kepada anak-anak tentang amalan baik yang lakukan.  Umpamanya jika ingin bersembahyang, beritahu anak tentang tanggungjawab bersembahyang bagi setiap muslim.  Anak-anak mendengar dan kemudian melihatnya memberi kesan mendidik yang lebih baik.

Biarpun perbuatan itu dirasakan janggal, lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.  Apabila anak semakin membesar, mereka mudah memahaminya.  Jika tidak dimulakan sejak awal, sukar untuk dilakukan kemudiannya.  Proses mendidik anak adalah tugas berperingkat-peringkat dan berterusan.

Dalam pendidikan Islam terdapat tiga perkara utama perlu ditekankan iaitu pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.  Ketiga-tiganya asas tonggak membentuk seseorang muslim sejati yang meliputi rohani dan jasmani.  Ketiadaan unsur ini menjadikan anak hilang panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Pendidikan akidah adalah tunjang kepada kehidupan.  Permulaan kalam ialah kalimah ‘Allah’.  Setiap muslim wajib berpagan kepada kalimah ‘bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah’ dan mengakui kekuasaan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Lukman pernah berkata kepada anaknya dan mengajarnya: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah; sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kesalahan yang besar.” (Surah Lukman, ayat 13).

Sebagai balasan kepada ibu bapa atas tanggungjawabnya, anak-anak perlu mentaati ibu bapa.  Kedudukan amat tinggi yang mesti diberi setiap anak kepada ibu bapa mereka. 

Firman Allah surah Lukman ayat 14 bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (upaya berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya mengandungkannya dengan menderita dalam keadaan lemah berterusan dan mencerai susu salam usia dua tahun.”  

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu adalah waktu, yang menipu itu adalah dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu adalah amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah membuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering kita lupa adalah bersyukur."

Thursday 1 December 2016

DERMA DARAH TIDAK BAHAYA


Individu kehilangan banyak darah akibat luka, kemalangan, ibu bersalin, pembedahan dan sebagainya perlu dipindahkan atau dimasukkan darah yang didermakan oleh individu lain.  Individu kehilangan darah mungkin berdepan ancaman maut jika tidak menerima darah yang mencukupi.  

Dengan kata lain, menderma darah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa mereka yang amat memerlukan bantuan. Setitik darah yang didermakan bakal menyelamatkan nyawa.  

Justeru, lebih banyak penderma darah perlu tampil untuk menderma darah. Bakal penderma tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri sendiri akibat menderma darah.

Menderma darah bukan sahaja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah menderma darah, terlebih dahulu tahap kesihatannya diperiksa bagi memastikan tidak ada kesan buruk selepas menderma darah. 

Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa amat singkat. Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma darah. Perasaan relek dan puas lahir dalam diri setiap kali dapat menderma darah.  

Hakikat menderma darah tidak membahayakan diri dan tidak mendatangkan kesan sampingan tidak perlu diragui. Di negara kita sudah ramai menderma lebih 100 kali dan keadaan mereka masih sihat. 

Mereka terus setia menjadi penderma darah dan tidak pernah mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan. Bahkan, mereka tidak mengenali dan tidak pernah ambil peduli kepada siapa darah mereka didermakan atau dipindahkan.     

Bersimpatilah kepada mangsa yang amat memerlukannya dan bayangkan anda  sendiri memerlukannya. 

Bagaimana perasaan pada masa amat memerlukan darah yang menentukan hidup mati, tetapi tidak sesiapa sudi mendermakannya. Jadikan amalan menderma darah sebagai satu perkara yang diutamakan.  

Sebenarnya, tidak rugi mendermakan darah kerana ia akan diganti secara automatik oleh badan. Penderma darah tidak berasa kekurangan darah akibat menderma darah. Kuantiti darah yang didermakan atau dikeluarkan dari badan penderma tidak memberi kesan buruk kepada diri penderma darah.

Sesungguhnya amat besar pahala mereka yang melakukan kebaikan dengan cara apa sekalipun, lebih-lebih lagi dalam perkara penting yang menentukan hidup mati. 

Renungkan firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat kebajikan walaupun sebesar zarah, pasti akan diberi pembalasannya, dan sesiapa juga membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, akan juga mendapat pembalasannya,”

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim, maka Allah melepasngkan pula kesusahnnya kelak pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)

Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. 

Bagaimanapun, jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.

Melalui kaedah Aferesis, darah dari badan penderma akan terus masuk ke dalam mesin yang akan mengasingkan sel darah merah dari plasma dan platelet. Plasma dan platelet akan dikumpul di dalam beg berasingan. Manakala sel darah merah akan dikembalikan atau masuk semula ke dalam badan penderma.

Banyak individu yang memberi alasan tidak mahu menderma darah. Kononnya perasaan takut, tidak sihat, sibuk, telah menderma sebelum itu dan pelbagai alasan lain diberikan. Semakin banyak alasan yang diberikan, lebih banyak pesakit yang menderita.  

Contohilah mereka yang telah lama menjadi penderma darah. Bersama-sama mereka membantu mangsa yang amat-amat memerlukan bantuan anda.