Thursday 10 October 2024

JUDI PUNCA KEMUSNAHAN HIDUP

 
Pengharaman judi dalam al-Quran berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
 
Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain.
 
Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)
 
Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262)
 
Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah al-Maidah, ayat 90)
 
Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
 
Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula.
 
Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
 
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82)
 
Ibn Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana ia meliputi dua mafsadah: Pertama, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara lalai yang haram, di mana ia menghalang daripada mengingati Allah, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/337)
 
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).” (Hadis riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)
 
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram. Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia, tidak dapat lari daripadanya untung atau rugi. Ianya juga dinamakan Maisir (yang didapati tanpa usaha dan jerih) yang disebut oleh al-Quran al-Karim beriringan dengan arak, Anshaab (yang disembelih untuk berhala) dan Azlaam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib).” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 493)
 
Dalam sebuah hadis lain, yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang berkata pada temannya: Marilah kita berjudi / bertaruh! Maka hendaklah dia bersedekah. (Hadis riwayat al-Bukhari (4860) dan Muslim (1647)
 
Imam Nawawi berkata: “Ulama menyebut bahawa perintah bersedekah adalah sebagai penghapus kesalahannya pada perkataannya dalam maksiat ini. Al-Khattabi berkata, maksudnya bersedekahlah dengan kadar ajakan untuk berjudi/bertaruh tersebut. Imam Nawawi kemudian berkata: Yang benar di sisi ahli muhaqqiq – dan ia adalah zahir hadis – bahawa tidaklah dikhususkan dengan kadar tersebut, bahkan bersedekahlah dengan apa yang dia mampu. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/107)

No comments:

Post a Comment