Thursday 17 October 2024

TUGAS ARBORIS TENTUKAN POKOK PERLU DITEBANG

 
Arboris adalah orang yang pakar dalam mengendalikan tumbuhan berkayu terutamanya dari segi pemantauan keadaan, kesihatan, pereputan dan kesesuaian spesies yang boleh ditanam di sesuatu kawasan.
 
Untuk menjadi arboris bertauliah perlu menduduki dan lulus peperiksaan akreditasi kendalian Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA) berpangkalan di Amerika Syarikat.  
 
Kepakaran arboris amat penting terutama untuk menilai keadaan fizikal pokok yang berada di tempat awam seperti di tepi jalan raya, taman permainan, kawasan perumahan dan tempat tumpuan orang ramai.
 
Jika kepakaran arboris atau pakar penyelenggara pokok digunakan, risiko bahaya dan kejadian seperti itu mungkin dapat dikurangkan atau dielakkan. Mereka sebenarnya adalah watak penting menjaga pokok di tepi jalan terutama yang bersaiz besar demi keselamatan orang awam.
 
Setiap arboris bertauliah mestilah mengetahui dan memahami keseluruhan ciri dan sifat pokok melalui 10 ‘domain’ atau subjek. Antara ‘domain’ ialah yang membabitkan pengurusan tanah, pengecaman dan pemilihan pokok, penanaman pokok, biologi pokok, amalan keselamatan kerja, pemangkasan pokok, diagnosis dan rawatan penyakit, perlindungan pokok, hutan bandar serta pengurusan risiko pokok.
 
Satu lagi, pakar pokok bertauliah juga perlu memahami fisiologi setiap jenis tumbuhan secara mendalam sebelum memulakan proses rawatan. Beberapa tugas yang sering dilakukan arboris bertauliah terhadap pokok ialah kerja pemangkasan, penebangan, pemindahan, penilaian risiko pokok, penilaian ekonomi dan perancangan hutan bandar.
 
Banyak orang beranggapan setiap pokok besar di tepi jalan perlu ditebang jika keadaan fizikal tumbuhan berkenaan sudah tua. Namun, penebangan pokok tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana arboris bertauliah perlu membantu dalam membuat penilaian terhadap kesihatan dan kecederaan pokok terlebih dulu secara terperinci sebelum cadangan penebangan atau pelupusan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
 
Dalam projek pembangunan pula, kaedah perlindungan pokok yang betul dengan mengambil kira Zon Akar Kritikal supaya dapat memelihara pokok terletak berhampiran kawasan projek. Seboleh-bolehnya, arboris cuba menyelamatkan pokok berkenaan jika ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.
 
Ini kerana pokok adalah aset hidup dan bernilai tinggi jika usianya mencecah puluhan tahun. Menurut kajian, kawasan 0.4 hektar yang ditanam pokok mampu membekalkan oksigen mencukupi untuk 18 orang setiap hari.
 
Kerja-kerja merawat pokok digalakkan dilakukan pada peringkat awal usianya dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam bagi mendapatkan struktur pokok yang terbaik dan memastikannya berisiko rendah kepada orang awam.
 
Justeru, arboris boleh menyumbang dengan mendidik orang awam memahami pokok berisiko dan segera memaklumkan kepada PBT atau pemilik tanah jika didapati ada pokok yang dalam keadaan bahaya.
 
Tugas arboris fokus kepada pemeliharaan pokok di kawasan bandar. Namun, jika ada mana-mana pokok tua mahupun pokok muda, sekiranya mempunyai bahagian reput dan berbahaya, hasil penilaian boleh menyebabkan ia terpaksa ditebang. Ini kerana prinsip arboris bertauliah ialah mengutamakan keselamatan orang awam.
 
Ketika penilaian pokok yang terbabit dalam projek pembangunan, justifikasi akan dibuat sama ada pokok berkenaan perlu ditebang, dipindah atau diganti baru.

No comments:

Post a Comment