Monday 12 August 2024

MANFAAT KEGUNAAN SIPUT GONDANG

 
Siput gondang (Pomacea spp.) merupakan sejenis makhluk perosak invasif yang kini mendatangkan kerosakan serius kepada penanam padi di Malaysia. Siput yang berasal dari Amerika Selatan ini telah dibawa masuk ke negara ini sekitar awal tahun 1990-an.
 
Siput gondang menyerang anak padi yang baru bercambah sehingga anak padi berumur lebih kurang 40 hari. Selepas tempoh kritikal ini, siput gondang tidak lagi memudaratkan tanaman padi. Aras kerosakan bergantung kepada bilangan dan saiz siput yang menyerang.
 
Kehadiran seekor siput bagi setiap meter persegi akan mengakibatkan 20 peratus kerosakan sementara pada kepadatan lima ekor siput setiap meter persegi akan mengakibatkan 90 peratus kerosakan.
 
Siput gondang telah dapat menyesuaikan diri di Malaysia kerana terdapatnya persekitaran yang dapat menampung kehidupannya sepanjang tahun, tiada musuh semula jadi selain berupaya membiak dengan banyak dan cepat.
 
Siput ini boleh bertelur sehingga 8,000 biji telur setahun. Lebih daripada 90 peratus telur yang dihasilkan akan menetas dan membesar. Siput gondang boleh hidup lebih daripada tiga tahun dan mula bertelur dua bulan selepas telur menetas.
 
Dalam keadaan kering, siput gondang dapat berlindung di dalam tanah untuk jangka masa lebih daripada lima bulan dan akan kembali aktif apabila terdedah kepada air semula.
 
Di Malaysia, penggunaan siput gondang sebagai makanan tambahan ayam kampung menyumbang kepada sumber protein dan kalsium. Kajian menunjukkan ayam kampung yang diberi makan siput gondang berupaya menghasilkan telur dengan telur merah yang berkualiti di samping kulit telur yang lebih cantik dan bentuk yang seragam.
 
Kandungan protein siput ini lebih tinggi daripada yang terkandung dalam jagung dan kacang tanah. Kandungan lemak siput gondang didapati rendah iaitu antara 0.89 – 1.71 g/100 g berasaskan berat basah.
 
Kandungan lemak yang rendah merupakan satu kebaikan apabila dijadikan makanan ternakan kerana lebih stabil dan tidak mudah tengik. Kandungan abunya melebihi 60 g/100 g berasaskan berat basah yang menunjukkan ia kaya dengan mineral.
 
Siput gondang juga mempunyai nilai kalori antara 1.129 – 1.582 kcal/kg. Kandungan kalsium dan fosforusnya didapati tinggi dan berpotensi untuk menjadi sumber makanan ternakan termasuk akuakultur.

No comments:

Post a Comment