Wednesday 24 November 2021

IKLAN MAMPU PENGARUHI PSIKOLOGI PEMBELI

 
Disebabkan persaingan sengit mendapatkan pelanggan, seringkali iklan barangan dan perkhidmatan dilakukan secara tidak jujur apabila iklan ditampilkan dalam bentuk boleh mengelirukan bakal pembeli. 
 
Banyak iklan tidak menyatakan secara tepat tentang barangan dan perkhidmatan yang diiklankan atau ia hanya dipaparkan secara sepintas lalu dan ‘tidak memberi peluang’ untuk pengguna mengetahuinya. 
 
Melalui kreativiti dan gimik diolah secara tersusun, pengguna ditipu secara tanpa disedari. Pengguna merasa seronok melihat iklan, tetapi pada masa sama tanpa disedari kita telah terperangkap dengan helah dibuat oleh pengiklan. 
 
Sesungguhnya sebarang niat untuk mengelirukan pengguna, dianggap satu penipuan. 
 
Mengikut peraturan pengiklanan yang diamalkan di negara kita memberi kebebasan kepada pengiklan atau menampilkan apa saja bentuk iklan asalkan tidak menyalahi kod pengiklanan yang ditetapkan oleh kerajaan yang meliputi nilai budaya, keagamaan dan sensitiviti masyarakat. 
 
Sebenarnya sesebuah iklan bukan saja mampu menarik orang ramai tentang produk diiklankan, tetapi lebih daripada itu. Iklan bukan saja dinilai dalam aspek komersial, tetapi juga mampu mempengaruhi psikologi, norma kehidupan dan pengajaran kepada penonton. 
 
Iklan yang menampilkan sikap boros, tidak menghormati orang dewasa, tamak dan angkuh amat tidak sesuai dari segi keperluan sebenar. 
 
Kita pernah dipertontonkan dengan iklan individu pergi membeli belah semasa tawaran jualan akhir tahun sehingga membawa pulang barang penuh satu kontena. 
 
Di manakah letaknya nilai-nilai murni yang menggalakkan agar pengguna bijak berbelanja dan berjimat cermat jika membeli sebegitu banyak. Sikap boros boleh mendatangkan masalah dalam keluarga yang mempengaruhi ekonomi keluarga. 
 
Selain itu suami isteri yang tidak sependapat dalam keputusan membeli akan terdorong perasaan tidak senang hati dengan keputusan masing-masing. 
 
Iklan yang menggunakan model kanak-kanak juga sering menunjukkan ‘kuasa’ kanak-kanak memaksa ibu bapa untuk membeli sesuatu produk. 
 
Biarpun ia dipersembahkan secara kreatif, santai dan menghiburkan, namun pada masa sama menjadi perangkap kepada ibu bapa untuk berdepan dengan anak masing-masing yang ingin mendapat produk tersebut. 
 
Justeru, satu aspek paling penting diingati oleh orang ramai ialah jangan mudah terpengaruh dengan iklan walaupun sebaik mana ia dipamerkan.
 
Gambar: Buah kulim sekadar hiasan


No comments:

Post a Comment