Tuesday 8 June 2021

Kenaikan harga minyak masak bebankan rakyat

 
Sekali lagi minyak masak botol yang tidak bersubsidi menjadi isu hangat di media, khabar harga untuk botol 5kg dijual pada harga RM32.00.  
 
Rakyat amat terkesan dengan kenaikan harga tersebut, lebih-lebih lagi ketika Covid-19 ini. Banyak rakyat hilang pekerjaan atau mengalami kesusutan dalam pendapatan.  
 
Alasan kenaikan harga disebabkan harga komoditi itu meningkat di pasaran dunia sepatutnya boleh diimbangi dengan subsidi kerajaan.  
 
Kenaikan harga di pasaran dunia memberi keuntungan kepada kerajaan dari segi nilai eksport dan tukaran wang. Jadi, gunalah keuntungan tersebut untuk kebajikan rakyat. 
 
Kononnya, kerajaan tidak tetapkan atau kawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi.  
 
Betul tu, tetapi dalam keadaan darurat sekarang ini, kerajaan boleh melakukan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat dengan membuat kawalan harga atau turut memberi subsidi dengan kadar tertentu. 
 
Kenyataan bahawa kenaikan itu munasabah tidak mencerminkan kerajaan yang kononnya prihati nasib rakyat.  
 
Cadangan agar rakyat menggunakan minyak masak di dalam pek polibeg yang disubsidikan oleh kerajaan, adalah kenyataan tanpa pemantauan.  
 
Rakyat bising sekarang ini kerana bekalan minyak bersubsidi yang biasa mereka guna habis di pasaran sehingga beralih kepada minyak yang dibotolkan yang dikatakan harga meningkat itu.  
 
Kalau bekalan minyak masak bersubsidi boleh dibeli dengan mudah, memang kebanyakan rakyat B40 membeli yang di dalam pek polibeg. Masalahnya sekarang mereka 'terpaksa' membeli yang di dalam botol.

No comments:

Post a Comment