Monday 31 May 2021

DITEGAH PERBUATAN MENGEJEK

 
Islam bukan saja melarang umatnya mencaci dan memaki-hamun, tetapi turut mengharamkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada bibit-bibit perbuatan itu seperti mengejek atau menyindir. 
 
Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama. 
 
Perkara itu berlaku kerana terkeliru dengan budaya dan nilai hidup. Apa saja perbuatan mencetuskan perbalahan, ia tetap dihukum haram. 
 
Tidak perlulah kita berasa seronok dengan kekurangan dan kelemahan orang. Sama ada seseorang itu gemuk, cacat, sumbing, sengau, pekak, bisu dan sebagainya, itu dah memang ditentukan oleh Allah SWT. 
 
Allah SWT mengingatkan, sebarang perilaku yang boleh menyakiti orang mukmin tanpa kesalahan yang mereka lakukan boleh menyebabkan seseorang itu berdosa dan dilaknat Allah. 
 
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 58 yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.” 
 
Imam Abu Daud mencatat sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak disebut insan beriman manusia yang suka mencela, melaknat melakukan perkara keji dan bercakap kotor.” 
 
Dikisahkan juga pada suatu hari, isteri Rasulullah SAW, Aisyah berkata kesat terhadap orang kafir yang memusuhi Islam. 
 
Lantas Baginda SAW menegur perbuatan isterinya dengan bersabda, “Hentikanlah wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah tidak menyukai perbuatan menghina dan perbuatan keji.” (Hadis riwayat Imam Muslim) 
 
Ingatlah, mungkin orang yang kita hina dan keji itu adalah lebih baik dari kita. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka.  
 
"Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman.  
 
"Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

No comments:

Post a Comment