Wednesday 21 October 2020

GEMBIRA TUAI HASIL KELEDEK CILEMBU

Ubi jalar? Itu nama digunakan di negara jiran Indonesia. Kalau di Malaysia dipanggil ubi keledek. Di Kelantan lebih terkenal dengan nama ubi stelo. 
 
Pokok ubi stelo tidak sukar ditanam. Benihnya boleh digunakan keratan batang atau sulur. Timbus sebahagian keratan batang dalam tanah. Insya-Allah akan tumbuh dan mengeluarkan hasil. Tanam dalam pasu pun boleh juga. 
 
Pokok keledek akan menjalar jauh dari pangkalnya. Boleh sampai tiga atau empat meter. Sebab itu ia dinamakan ubi jalar. Kerjanya menjalar aje. 
 
Kalau hendak dikira, kawasan diperlukan untuk tanam ubi jalar kena luas, sebab itu menjalar. Sebenarnya di kawasan sempit pun boleh tanam ubi jalar. 
 
Pokok yang menjalar itu boleh diletak secara melingkar atau setompok. Apa yang penting bahagian pucuk berada di atas agar ia dapat terus menjalar menumbuhkan pucuk baharu. 
 
Banyak jenis ubi keledek yang ditanam di negara kita. Jenis yang semakin mendapat perhatian sekarang ini ialah keledek cilembu. 
 
Keledek cilembu dikatakan berasal dari Kampung Cilembu, Sumedang, Bandung, Jawa Barat Indonesia. 
 
Keistimewaan cilembu di tempat asalnya ialah rasa yang manis. Ia dianggap sebagai ubi keledek termanis di dunia. Jauh lebih manis dari Japanese Sweet Potato atau ubi keledek jepun. Enaknya tidak tertandingkan. 
 
Cilembu sedap dimakan panggang atau bakar, selain direbus dan dijadikan kuih. 
 
Usaha menanam cilembu di Malaysia tidak membawa ‘keturunan’ seperti asal di Indonesia. Cilembu di Malaysia tidak semanis atau sesedap yang ditanam di tempat asalnya. 
 
Mengapa perkara ini terjadi? Kalau benihnya diambil dari sana, mengapa hasilnya tidak sama? 
 
Satu dapatan kajian oleh Agustina Monalisa Tangapo menerusi kajian untuk tesis Phd beliau di Institut Teknologi Bandung (ITB) menjelaskan bahawa rahsia kemanisan cilembu di Indonesia adalah dibantu oleh mikrobes atau sejenis bakteria. 
 
Bakteria rizosfera dan endofit yang kaya di bumi Cilembu telah bekerja secara senyap memberikan rezki kemanisan ubi yang luar biasa itu. 
 
Mengikut Dr Augustina, jika bakteria ini dikembang biakkan di bumi yang lain juga, kemanisan cilembu tetap terhasil. 
 
Justeru, jika kita mahu cilembu di Malaysia juga rasanya manis, maka mikrobes ini nampaknya perlu dihijrahkan segera ke Malaysia atau cari seperti itu yang telah hidup di negara kita.  
 
Sebenarnya, kalaupun cilembu di Malaysia tidak seperti di Indonesia, ia tetap mengeluarkan ubi yang banyak dan besar. Rasapun tetap sedap biarpun tidak sesedap di tempat asalnya. 
 
Sebab itu, petani atau penggermar cilembu tetap menanamnya di Malaysia. Cilembu boleh dituai selepas tiga hingga lima bulan ditanam bergantung kepada tumbesarannya. 
 
Gambar kanak-kanak memegang ubi cilembu itu adalah hasil selepas tiga bulan ditanam di dua tempat berbeza. Masing-masing di Taiping dan Kuala Kangsar.

2 comments:

  1. Hok peting tane

    ReplyDelete
  2. Dah lama makan nih. Selalu beli di foodtruck sweet honey potato. Sedap rasa madu berair lembut. Sekarang nak tanam pulak.

    ReplyDelete