Sunday 20 October 2019

JIHAD EKONOMI KEMPEN BELI PRODUK MUSLIM


Kempen Beli Produk Muslim (BMF) bukan suatu kempen politik. Sesiapa beranggapan itu satu kempen politik adalah suatu tindakan yang keji dan terkutuk. Kempen ini sudah lama digerakkan, tetapi hanya kebelakangan ini menampakkan kejayaan dan sambutan luar biasa.

BMF adalah gerakan rakyat dari pelbagai latar belakang untuk mengutamakan produk-produk Muslim tanpa mengira parti dengan syarat beragama Islam dengan harapan agar ekonomi umat Islam diperkukuhkan.

Kenyataan yang mengatakan bahawa Islam hanya mengajar kita mengutamakan produk halal dan bukannya produk Muslim jelas menunjukkan kecetekan dan ketidakjujuran dalam berbicara mengenai Islam.

Memang tidak dinafikan Islam tidak melarang berurusniaga dengan bukan Islam. Tetapi, tidak pula ada mengatakan Islam hanya menyuruh mengutamakan produk halal dan bukan produk Muslim.

Dalam urusan kehidupan seharian, kita perlu mengutamakan mana yang lebih memberi kebaikan.

Jika ada dua barang halal yang tersedia iaitu satu dikeluarkan oleh Muslim dan satu lagi bukan Muslim, maka yang lebih baik ialah membeli dari pengeluar Muslim.

Islam mengajar kita agar saling bantu-membantu sesama Muslim terutamanya dalam membina kekuatan ekonomi umat, apatah lagi umat Islam kini sedang jauh terkebelakang dan lemah ekonominya.

Kita semua sedar peniaga-peniaga Muslim selama ini terpinggir di mana orang Melayu (yang semuanya beragama Islam) dicatatkan sebagai golongan termiskin sejak sekian lama di tanah ini.

Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk berjihad membantu dan membangunkan ekonomi ummah.

Jadi, kempen BMF adalah cara yang paling berkesan dan baik untuk kita saling menolong di mana semua orang berpeluang untuk ambil bahagian.

Kita bukan sahaja bertanggungjawab mencari yang halal sahaja tetapi lebih besar dari itu; membangun ekonomi dan membantu sesama Muslim.

Kita perlu memahami Islam dengan sisi pandang yang lebih luas.

Teruskan istiqamah kita dalam membangunkan ekonomi umat melalui kempen ini. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment