Sunday, 13 February 2022

MANFAAT MENGUASAI ILMU MANTIK

 
Tokoh ilmuan mantik klasik ialah Socrates, Arisrotle, Ibnu Sina dan Imam Ghazali. Tokoh ilmuan mantik moden ialah Francis Bacon, John Stewart Mill, Ibnu Haytham dan Ibnu Hayyan. 
 
Antara perbezaan di antara mantik moden dengan mantik klasik adalah: 
 
- Mantik klasik hanya mengkaji bentuk-bentuk pemikiran dan mencipta peraturan-peraturan yang berbentuk teori. Peraturan tersebut dilalui dan diikuti oleh setiap pengkaji dan pemikir untuk menghasilkan keputusan yang benar dan tepat tanpa mengambil kira atau mengkaji bahan yang menjadi hakikat atau kandungan pemikiran tersebut. 
 
Manakala mantik moden pula mengkaji bahan-bahan yang menyebabkan lahirnya pemikiran itu dan sebab-musabab sesuatu perkara yang wujud dan lahir serta mengaitkannya dengan apa yang terdapat pada kenyataan. 
 
- Mantik klasik menumpukan serta memusatkan perhatiannya terhadap fizikal sesuatu benda tanpa menilai dan mengkaji atau meneliti kaitan di antara benda-benda yang dikaji tersebut. 
 
Manakala mantiq moden pula menumpukan kajiannya terhadap benda dan bagaimana berlakunya perkara tersebut, sebab-sebabnya dan hubungannya di antara satu sama lain. 
 
- Mantik klasik mementingkan dan mengutamakan teori semata-mata. Manakala mantik moden lebih menumpukan kepada percubaan dan amali terhadap teori yang digariskan. 
 
Di antara manfaat ilmu mantiq ialah membuat daya pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah. 
 
Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada waktunya. Ilmu mantik juga membuat seseorang mampu membezakan antara yang baik dan buruk. 
 
Dengan mempelajari ilmu mantik juga menjadikan seseorang bijak berfikir dan mempunyai hujah tersendiri untuk berdebat serta membidas kata-kata yang tidak masuk akal dan tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperkotak-katikkan oleh individu lain sekiranya pada dirinya mempunyai ilmu mantik.


No comments:

Post a Comment