Secara umumnya, pada
masa kini, berhutang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Islam tidak melarang
hutang, tetapi tidak menggalakkan, kecuali terpaksa. Pun begitu, instrument
hutang sudah menjadi sebahagian keperluan hidup.
Pinjaman perumahan, kereta, perniagaan, pendidikan dan keperluan lain sudah menjadi trand masyarakat kita. Kini, penggunaan kad kredit sudah menjadi satu amalan yang diterima secara meluas.
Ada pandangan yang
mengatakan, lebih baik tidur tanpa makan terlebih dahulu, daripada bangun esok
pagi dengan banyak hutang. Langkah terbaik yang dapat dilaksanakan pada suatu
hutang adalah membayarnya.
Islam menggalakkan
supaya orang yang berhutang membayar hutang supaya dapat hidup merdeka. Mereka
yang berhutang adalah hamba. Kita sentiasa terikat dengan bayaran secara
bulanan atau tempoh masa yang dipersetujui. Jika tidak membayarnya,
tindakan dikenakan oleh pihak pemberi pinjaman.
Maka, untuk hidup
bebas, elak daripada berhutang. Bagi mengelakkan berhutang, hiduplah secara
sederhana dan berbelanja secara berhemah.
Luqman Al-Hakim
pernah mengungkapkan kata-kata: "Aku memindahkan batu dan membawa besi
yang kuat, namun aku belum mendapatkan sesuatu yang lebih berat daripada
hutang."
Pada dasarnya,
Islam tidak melarang berhutang, tetapi tidak menggalakkan jika ia tidak
dianggap satu keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya
dijadikan satu budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika
dijadikan perkara suka-suka.
Sepatutnya kita
merasa ‘malu’ hendak berhutang kerana ia dikaitkan dengan kemiskinan dan
ketidakupayaan dari segi kewangan. Mengapa berhutang dijadikan budaya sedangkan
ia bukan keperluan amat penting yang sehingga mewajibkan berhutang seperti
untuk keperluan perubatan dan pendidikan.
Amalan berhutang merupakan hakikat bahawa kehidupan
manusia tidak dapat lari daripada memohon bantuan pihak lain. Allah SWT menjadikan
manusia berbagai-bagai bangsa dan kedudukan ekonomi yang berbeza-beza agar
mereka dapat saling membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain.
Malangnya ramai mengambil kesempatan di atas kesengsaraan
orang lain. Ada pihak menghulurkan bantuan, tetapi sebenarnya terselit racun
berbisa. Mereka menjadikan orang terdesak memerlukan bantuan sebagai sasaran
untuk dijadikan mangsa.
Kegiatan pemberi hutang (pemiutang) tidak berlesan atau
dikenali Along semakin berleluasa. Kegiatan ini didorong oleh permintaan orang
ramai yang ingin berhutang disebabkan memerlukan wang segera dengan cara mudah.
Kegiatan Along tidak berkembang jika tiada permintaan
daripada orang ramai. Ini membuktikan ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi
keperluan hidup terdesak dan pelbagai tujuan.
Berhati-hatilah dalam soal hutang. Berbelanja ikut
kemampuan, bukan ikut kehendak. Kata pepatah, "ukur baju pada badan sendiri".
No comments:
Post a Comment