Golongan muda perlukan bimbingan untuk terus
melayari kehidupan yang berpaksikan kepada kehendak agama Kaedah
biasa bimbingan dilakukan melalui komunikasi bersemuka atau menghadiri kelas
khusus yang diadakan di sekolah, institusi latihan, masjid dan
seumpamanya.
Biasanya golongan muda yang menyertai kelas
seumpama itu agak terhad. Mereka merasa tidak selesa atau tidak
berkesempatan untuk menghadirinya.
Tambahan, memang situasi biasa orang tidak
suka kepada sesuatu yang diadakan secara formal kerana mereka sukar untuk
memberi komitmen dan pengurusan masa.
Jadi, cara alternatif perlu disediakan untuk
menjadi medan golongan remaja boleh mendapat sesuatu yang bermunafaat untuk
dijadikan panduan hidup. Umum diketahui, satu platform paling sesuai
untuk berkomunikasi dan mendekati golongan muda ialah di alam maya atau
hubungan melalui internet.
Pendakwah mesti melakukan anjakan paradigma
dalam melakukan usaha dakwah secara maya agar mereka dapat berada di ‘tempat’
di mana remaja dan gologan muda berada.
Ini bersesuaian dengan hobi golongan muda
yang lebih banyak menghabiskan masa di laman maya. Mereka mengembara
di alam maya dari satu ruang ke satu ruang lain yang menyajikan pelbagai bentuk
seperti hiburan, maklumat, ilmu dan menjalinkan hubungan sosial.
Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya alam maya
untuk melakukan dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu
secara fizikal dengan sasaran dakwah.
Dakwah maya lebih terbuka dan tidak
mensyaratkan seorang pendakwah tersebut mahir dalam komunikasi atau mempunyai
ilmu Islam yang banyak.
Sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah di
alam maya asalkan ada kemahuan dan keikhlasan. Sampaikan walaupun hanya
sekelumit ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sampaikan
daripadaku walaupun hanya satu ayat." (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan
Tirmizi)
Namun perlu diingat, mereka yang ingin
menjadi pendakwah di alam maya perlu menilai keupayaan diri sendiri. Lakukan
dakwah mengikut kemampuan masing-masing.
Jangan sekali-kali menulis di laman maya
tanpa kemahiran dalam bidang berkenaan. Ini bertujuan untuk mengelak
perkara yang disampaikan itu menyalahi apa yang sebenarnya.
Oleh itu orang yang berdakwah mestilah mempunyai ilmu tentang apa yang
didakwahkan olehnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah
jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada
Allah denga hujah yang nyata (ilmu). Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk
orang yang musyrik.” (Surah Yusuf 12: 108)
No comments:
Post a Comment