Saturday 19 August 2023

SEJARAH SMK PANGKAL KALONG, KETEREH

Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkal Kalong atau nama ringkasnya SMK Pangkal Kalong, merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh, Kelantan. 

SMK Pangkal Kalong diasaskan pada 1 Januari 1965. Penubuhan sekolah tersebut diusahakan setelah mendapati kesulitan pelajar dari kampung berhampiran untuk berulang alik ke Sekolah Aneka Jurusan Ketereh.
 
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong, Mahmood Bin Ahmad mencadangkan supaya sebuah Sekolah Aneka Jurusan dibuka di Daerah Pangkal Kalong.
 
Cadangan itu telah diterima oleh Datuk Murad Mohd Nor, Pengarah Pelajaran Kelantan. Maka pada tarikh 1 Januari 1965, bermulalah sejarah SMK Pangkal Kalong dengan nama Sekolah Menengah Rendah Pangkal Kalong.
 
Murid-murid dari beberapa buah sekolah rendah sekitar seperti Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong, Sekolah Kebangsaan Gondang dan Sekolah Kebangsaan Bandar telah disalurkan ke Sekolah Menengah Rendah Pangkal Kalong.
 
Pada peringkat awal penubuhan, hanya terdapat 57 orang murid. Mulai tahun 1970, Sekolah Kebangsaan Kok Lanas mula menyalurkan sebahagian daripada murid ke Sekolah Menengah Rendah Pangkal Kalong.
 
Pada peringkat awal, hanya dua tingkatan sahaja diwujudkan dan bilangan guru ialah tiga orang. Pada tahun kedua iaitu pada tahun 1966, bilangan kelas bertambah kepada empat iaitu dua kelas Tingkatan Satu dan dua kelas Tingkatan Dua dan bilangan guru bertambah menjadi lima orang.
 
Pada tahun 1967, sekolah ini melahirkan anak sulung dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) iaitu peperiksaan untuk pelajar tingkatan 3.
 
Oleh sebab bilangan pelajar kian bertambah dari tahun ke tahun, maka sebuah bangunan baru dibina. Sebelum itu, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Rendah Pangkal Kalong menumpang di Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong dan sesi persekolahan ialah pada sesi petang. Bangunan baru bertingkat telah dirasmikan oleh Mohamed bin Yaakub, Menteri Pelajaran Malaysia pada 1 Julai 1974.
 
Pada 13 Julai 1979, sebuah bangunan baru dua tingkat telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Musa Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia, untuk menampung bilangan pelajar kian bertambah.
 
Pada tahun 1981, sekolah ini telah membuka Tingkatan Empat. Sebelum ini, pelajar-pelajar yang lulus SRP akan melanjutkan pelajaran mereka ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Ketereh.
 
Memandangkan ramai pelajar sekolah ini yang berjaya dalam Peperiksaan SRP, maka keputusan diambil untuk membuka Tingkatan Empat. Pada tahun 1982, sekolah ini melahirkan anak sulung Peperiksaan SPM.
 
Lakaran sejarah diteruskan dengan mewujudkan aliran sains pada tahun 1994 untuk merealisasikan matlamat Pendidikan Negara. Pada tahun 1995, sebuah dewan serba guna telah dibina dan dinamakan sebagai “Dewan Bestari”.
 
Seterusnya, selaras dengan harapan Perdana Menteri dalam bidang ICT, bangunan komputer telah dirasmikan pada tahun 2002. Manakala pengubahsuaian makmal sains di Blok A telah dilakukan untuk dinaikkan taraf sebagai makmal contoh.
 
Untuk memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar menunaikan ibadat, surau baru pula dibina dan penggunaannya secara rasmi ialah pada tahun 2003. Khusus untuk pelajar yang jauh dari sekolah, bangunan asrama yang baru (untuk pelajar lelaki dan perempuan) tidak ketinggalan dimasukkan dalam pelan pembangunan SMK Pangkal Kalong. Sebanyak dua bangunan 4 tingkat telah dibina dan diguna secara rasmi pada tahun 2003.

 

No comments:

Post a Comment