Wednesday 4 March 2020

SEJARAH PEKAN ENDAU MERSING

Kira-kira 40 km dari Mersing, Johor dan kira 110 kilometer dari Pekan, Pahang terdapat sebuah pekan yang dinamakan sebagai Endau. Endau merupakan sebuah kawasan kampung tradisi yang lama yang telah wujud. 
 
Pekan Endau mendapat nama daripada nama seorang peranakan India yang bernama "Endau" yang menetap di situ. Antara kawasan yang terkenal di Endau ialah Kampung Pianggu, Kg Semaloi, Kasing dan Semanyir.

Kawasan-kawasan ini telah lama didiami dan dikuasai oleh ketua-ketua suku yang mana pada tahun 1738 Sultan Sulaiman (Sultan Johor-Pahang) telah melawat Kuala Endau dan disambut oleh 9 ketua suku biduanda dan diberi anugerah serta tanda peringatan berupa syiling emas tertulis "Sultan Sulaiman Shah" di hadapan dan di belakang "Khalifat al Mukminin". Dikatakan syiling emas ini masih dimiliki oleh waris-waris suku kaum ini.

Pekan Endau dipisahkan dengan Tanjung Gemok di Pahang oleh Sungai Endau. Kedua-dua bandar ini dihubungkan Jambatan Endau yang telah dibuka dan dirasmikan pada 17 Oktober 1974.

Pembukaan ini dirasmikan oleh YB Dato' Mohd. Ali (diarahkan oleh Temenggung Ibrahim). Jambatan ini menghubungkan antara negeri Johor dan negeri Pahang. Jambatan ini dibina oleh Jambatan Kerja Raya (JKR) dan mengikut reka bentuk box girder bridge yang terdapat di luar negara.

Pekan Endau dikatakan maju kerana menjadi tumpuan orang-orang Cina berniaga, menjadi nelayan dan pembalak-pembalak di kawasan hulu Sungai Endau.

Terdapat banyak bahan mentah di Endau. Antaranya kayu balak, hasil-hasil hutan seperti rotan, damar dan juga gading gajah. Hasil-hasil laut dikeringkan dan dijual keluar dari Endau.

Kira-kira 20 km dari Endau, terdapat sebuah pusat peranginan yang dinamakan Teluk Sari bersempena dengan cerita-cerita orang dahulu mengatakan ia menjadi tempat bermalam sehari di teluk itu apabila berulang-alik dari Endau ke Mersing.

No comments:

Post a Comment