Setiap
orang mempunyai cara berfikir berbeza-beza mengikut tahap ketajaman fikiran dan
pengalaman. Kita biasa mendengar perkataan fikiran singkat, fikiran luas,
fikiran matang dan fikiran tajam. Semua tahap itu bergantung kepada cara mana
kebiasaan kita menggunakan akal dalam kehidupan seharian.
Berfikir
akan menyebabkan anda bertindak ke arah kebaikan. Kita akan terus berusaha
sehingga mencapai apa yang diimpikan. Malah, pencapaian itu akan sentiasa
meningkat selagi kita terus berfikir.
Lihatlah
kepada orang yang berjaya dalam hidupnya. Mereka ini sentiasa tekun melakukan
perkara yang tidak digemari oleh orang yang malas serta orang yang tidak
mempunyai kegigihan. Semangat berusaha gigih adalah resipi mereka yang mencapai
kejayaan cemerlang dalam bidang yang dilakukan.
Dari
satu tahap ke satu tahap lain, mereka terus berfikir bagaimana ingin terus
mencapai yang terbaik. Apa yang mereka fikir itu disertakan dengan tindakan
yang betul. Mereka sentiasa menyelaraskan setiap apa yang difikirkan dengan apa
yang dilakukan bagi mengelak percanggahan.
Berfikir
adalah satu cara mengubah diri daripada sifat negatif. Keputusan daripada apa
yang difikirkan akan memberi satu motivasi kepada diri untuk melaksanakannya. Perasaan
malas, tidak yakin pada diri dan mudah berputus asa adalah sifat kerana malas
berfikir.
Jadi,
selama-lamalah orang yang malas berfikir akan terus menjadi malas dalam setiap
tindakan berkaitan kehidupan seharian. Mereka ini tidak merasa apa-apa kerugian
atau kesal biarpun sentiasa hidup dalam kegagalan.
Orang
yang malas berfikir tidak mahu berfikir untuk menyelesaikan masalah atau
kegagalan yang dihadapinya. Mereka hanya berserah kepada nasib dalam menentukan
apa yang akan berlaku seterusnya.
Sebenarnya
orang macam ini telah mati mindanya, sebelum mati jasadnya. Mereka tidak ubah
seperti binatang yang hanya mengguna naluri untuk menentukan keperluan hidup
tanpa menggunakan kebijaksanaan akal.
Justeru,
kita perlu sentiasa berfikir untuk menghidupkan minda dan tidak menjadi orang
mati seperti orang yang telah mati. Amat rugi orang yang mempunyai akal yang
sempurna tetapi tidak mahu menggunakan anugerah Allah itu.
Berfikir
adalah makanan minda yang bertanggungjawab menghidupkan seluruh sistem badan
kita. Kehidupan menjadi lebih aktif dan bermakna jika minda sentiasa digerakkan
ke arah yang positif.
No comments:
Post a Comment