Sunday 8 January 2017

AL-QURAN MUKJIZAT AGUNG

Panduan hidup. Mukjizat kekal hingga kiamat. Al-Quran anugerah terbesar Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda.  Dari segi bahasa, al-Quran bermaksud bacaan.  

Manakala dari segi istilah al-Quran bermaksud kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril secara mutawatir di dalam bahasa Arab dan membacanya adalah ibadah.

Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk manusia.

Penurunan al-Quran dianggap mukjizat yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada seluruh umat manusia yang kekal hingga ke hari kiamat.  Penurunan kitab menjadi wasilah untuk agama sampai kepada kita untuk dijadikan pegangan. 

Selain al-Quran, Allah juga menurunkan kitab-kitab kepada umat terdahulu.  Namun kitab itu telah dimansuhkan penggunaannya apabila Al-Quran yang lengkap diturunkan. Tidak ada yang tertinggal, melainkan semuanya tercatat dalam al-Quran untuk panduan hidup manusia. 

Peristiwa penurunan al-Quran  dinamakan Nuzul al-Quran.  Ia berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi.  Ketika itu Rasulullah SAW berusia 41 tahun, berada di Gua Hira.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada baginda rasullullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Bermulanya dari detik itu, Rasulullah SAW secara beransur-ansur menerima ayat al-Quran.  Hikmah al-Quran tidak diturunkan sekali gus ialah untuk memudahkan manusia memahami keseluruhan tuntutan al-Quran. 

Contohnya, pada zaman sahabat, wahyu diturunkan oleh Allah SWT secara beransur-ansur mengikut waktu, keadaan, peristiwa dan tempat supaya dapat difahami, dihayati, dihafaz serta diamalkan terus dalam kehidupan mereka.

Sahabat bukan saja mampu membaca, menghafaz, memahami makna, bahkan lebih daripada itu. Setiap ayat yang sampai kepada mereka diamalkan penuh ikhlas serta kesungguhan. 

Al-Quran adalah panduan terbaik kepada seluruh umat manusia untuk mengamalkan syariat Islam melalui suluhan wahyu secara sepenuhnya.

Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah.  Ia melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf.  Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Kitab suci itu juga nama lain dan ulama menyatakan al-Quran mempunyai 66 nama, antara al-Furqan, al-Mau'izah, al-Kitab, al-Nur, al-Busyra, al-Ruh, al-Majid, al-Zikr dan al-Tanzil.  

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. 

Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Sedarkah kita bahawa di dalam al-Quran terkandung semua ubat kepada masalah di dunia ini. Hanya kita yang menganggap kitab suci yang merupakan antara mukjizat Nabi Muhammad SAW yang masih wujud hingga ke hari ini hanya perlu dibaca dan dihafal sebagai mencukupkan syarat sebagai seorang muslim yang bertakwa.

Firman Allah dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. 

Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’.

Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am, ayat 38)

No comments:

Post a Comment