Tidak
semua orang menyukai durian. Bagi penggemar fanatik, durian barangkali menjadi
buah paling enak di dunia. Permintaan terhadap durian amat tinggi di negara
kita biarpun harga agak mahal terutama jenis terkenal.
Setiap
orang mempunyai minat berbeza menepati kepelbagaian jenis raja buah buah ini yang
mempunyai rasa berbeza-beza. Ada isi manis berlemak, sedikit pahit dan gabungan
kedua-duanya.
Durian
memang kaya dengan khasiat pemakanan yang diperlukan oleh badan.
Secara
amnya durian mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat
peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.
Dalam
satu cawan 250 gram isi durian (dua atau tiga ulas durian) mempunyai 360
kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat.
Berdasarkan
keperluan tenaga dewasa, pengambilan secawan isi durian hampir memenuhi jumlah
kalori diperlukan seseorang untuk makan pagi, tengah hari atau makan malam.
Di
samping itu durian turut mengandungi vitamin B6 seperti thiamine (B1),
riboflavin (B2), niacin (B3), asid pantotenik (B5), vitamin B6 dan folat (B9),
vitamin C dan mineral manganese dan potasium.
Semua
vitamin ini amat diperlukan tubuh, sebagai contoh vitamin B diperlukan sebagai
sumber utama dalam pembentukan sel darah merah dan memastikan sistem saraf
berfungsi dengan baik.
Manganese
juga membantu fungsi saraf, pembentukan tisu penghubung dan tulang, metabolisme
lemak dan karbohidrat manakala potasium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan
jantung, otot dan tulang.
Menariknya,
durian turut mengandungi asid amino, triptofan yang menjadi sumber utama
pembentukan hormon serotonin dan melatonin yang membantu individu berasa tenang
dan mudah untuk tidur.
Pelbagai
manfaat nutrisi yang boleh didapati daripada durian, tetapi jangan ambil dalam
kuantiti yang banyak kerana ia boleh memudaratkan.
Bagi
pesakit diabetes mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang
banyak. Ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk
glukosa dan fruktosa yang tinggi. Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan
menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk
kepada organ tubuh.
Durian
juga mempunyai bahan sulfur yang menyebabkan kentut berbau. Sebelum kentut ini
dikeluarkan, individu mungkin berasa kembung perut.
Bagi
pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan
menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal.
Berbeza
mereka yang mempunyai darah tinggi, pengambilan durian secara sederhana tidak
memudaratkan dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah.
Bagi
mereka yang sihat, dua atau tiga ulas sudah mencukupi. Ini kerana tahap gula
yang tinggi akan dimetabolisme dengan lebih lama dan menyebabkan tubuh berasa
panas. Jika diambil sebelum waktu malam, ia mungkin menyebabkan rasa tidak
selesa.
Walaupun
memakan durian berlebihan mungkin tidak mendatangkan kemudaratan bagi mereka
yang sihat. Tetapi elakkan mengambil secara kerap contohnya setiap hari dan
dalam jumlah yang banyak.
Bagi
mereka yang mempunyai penyakit kronik, sebaik-baiknya hanya mengambil
pendekatan ‘merasa’ dan bukan ‘makan’. Jamah hanya seulas untuk tempuh beberapa
hari atau hanya dicampurkan dalam makanan lain menimbulkan aroma rasa dan
baunya.
Minum
air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dan mengelak peningkatan
gula dalam darah.
No comments:
Post a Comment