Thursday 13 June 2024

HASILKAN LATEKS BERBANDING GETAH BEKU

 
Malaysia atau ketika dahulu dikenali Malaya adalah pengeluar getah utama di dunia. Penanam dan penoreh getah memperoleh pendapatan lumayan daripada hasil getah. Hasil eksport getah ke luar negara, Malaysia mendapat pendapatan lumayan. Namun, pada ketika itu, keuntungan sebenar dinikmati oleh syarikat dan negara penjajah memandangkan Malaysia ketika itu masih dijajah.
 
Pun begitu, getah tidak lagi menjadi penyumbang utama ekonomi negara. Harga dan permintaan getah di pasaran dunia menurun apabila banyak negara lain turut memajukan industri penanaman dan penghasilan getah asli. Malaysia sekarang ini bukan lagi pengeluar getah asli terbesar di dunia yang pernah dicapai dahulu.
 
Pendapatan penoreh getah kini merundum. Golongan ini terpaksa dibantu untuk meneruskan kelangsungan hidup. Elaun dan subsidi disediakan oleh kerajaan untuk membantu penoreh.
 
Harga getah sekerap tidak lagi mampu mencapai harga tertinggi yang pernah diperoleh dahulu. Namun ada satu kaedah untuk meningkat pendapatan penoreh dan pekebun kecil. Mereka perlu menghasilkan lateks atau susu getah cair.
 
Mengikut statistik sejak tahun 2019 hingga 2023 harga lateks tidak pernah turun dari RM5.50/kg dan sentiasa lebih tinggi daripada harga sekerap. Justeru, untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi, pelbagai insentif yang diberikan kepada mereka yang menghasilkan lateks.
 
Penghasilan lateks amat diperlukan kerana 80 peratus keperluan negara pada hari ini bergantung kepada import yang membabitkan kos pengimportan kira-kira RM3 bilion. Amat pelik apabila Malaysia terpaksa mengharapkan import untuk memenuhi keperluan leteks, sedangkan negara ini adalah mempunyai kawasan penanam getah yang luas.
 
Susu lateks merupakan kegunaan utama pokok getah dan merupakan nilai komersil tertinggi bagi pokok getah. Lateks pokok getah mempunyai nilai komersil tinggi kerana bahan aslinya sendiri tidak memerlukan pemprosesan rumit sebagai bahan mentah.
 
Lateks juga boleh dibahagikan kepada gred kualiti tersendiri bergantung kepada kaedah pengumpulannya dan nilai pasarannya berbeza mengikut hasil. Sebagai contoh, susu getah tulen mempunyai nilai pasaran lebih tinggi berbanding hasil pembekuan getah seperti getah sekerap.
 
Kerajaan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) memperuntukkan perbelanjaan besar bagi pelaksanaan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk menggalakkan pekebun kecil getah beralih daripada pengumpulan getah sekerap (cuplump) kepada penghasilan susu getah (lateks).
 
Projek itu bertujuan membantu menambah pendapatan golongan pekebun kecil getah sehingga 40 peratus selain membantu menampung bekalan lateks negara untuk sektor hiliran.
 
Walaupun kerja banyak (proses penghasilan lateks yang rumit) dan tenaga kurang berikutan kebanyakan penoreh getah berada dalam lingkungan umur 60-an dan 70-an, yang penting ialah mesti dicari jalan daripada segi pengeluaran lateks.
"
Antara cadangan untuk membantu proses pengeluaran lateks ialah dengan memperkukuh koperasi terbabit sedia ada, serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan peneroka getah.
 
Di Malaysia, getah beku atau skrap lebih popular dalam kalangan penoreh getah kerana proses penghasilannya yang lebih mudah, berbanding lateks yang lebih rumit.
 
Untuk menghasilkan getah beku, penoreh hanya perlu menoreh dan meninggalkan susu getah membeku dalam mangkuk sebelum mengutip hasil selepas tiga hari manakala untuk lateks, penoreh perlu menunggu susu getah berhenti menitik antara empat hingga lima jam, sebelum membawa hasil keluar dari kebun ke pusat pengumpulan.
 
Kenapa pekebun getah perlu tukar produk daripada sekerap kepada lateks?
- Harga lateks lebih tinggi daripada sekerap dan boleh meningkatkan pendapatan kepada pekebun kecil.
- Pelbagai insentif yang diberikan oleh pihak RISDA dan LGM untuk mereka yang menghasilkan lateks seperti insentif input pertanian dan tunai untuk tambahan harga lateks.
- Keperluan negara pada masa kini yang memerlukan sumber lateks yang banyak dan kebergantungan negara kepada import lateks yang terlalu tinggi.

No comments:

Post a Comment