Wednesday 9 June 2021

SERONOK TUKAR PASANGAN SUAMI ISTERI

 
Kisah suami isteri bebas bertukar pasangan melakukan hubungan seks untuk penuhi nafsu berahi. Suami tidak marah atau cemburu apabila isteri melakukan hubungan seks dengan lelaki lain. Isteri juga tidak menghalang suami bersama isteri orang lain. 
 
Suami isteri saling merasai nikmat bersama pasangan lain yang dianggap menghilang rasa bosan serta memperoleh pengalaman baru.   

Amalan bertukar pasangan sudah menjadi amalan di negara Barat. Menggunakan hak kebebasan dan menghormati keinginan pasangan masing-masing, maka mereka menjadikan amalan itu untuk memuaskan nafsu yang tidak ada penghujungnya.  

Biarpun di Malaysia amalan bertukar pasangan masih terpencil, namun ia semakin mendapat tempat di kalangan pasangan yang sudah hilang erti ikatan perkahwinan yang dituntut Islam, mahupun agama-agama lain.

Pasangan di Malaysia beraliran pemikiran 'rosak' yang menerima amalan bertukar pasangan kini mudah terpengaruh apabila amalan itu sudah secara terbuka menular di negara jiran.

Pasangan suami isteri yang mengamalkan bertukar pasangan di negara jiran kini secara tanpa segan silu mengiklankan untuk menawarkan pasangan atau mencari pasangan yang bersedia melakukan tukar pasangan.

Mereka mendakwa, selain dapat menikmati hubungan seks dengan pasangan berlainan, amalan itu menambahkan rasa kasih sayang dan itu lebih baik berbanding jika pasangan berlaku curang atau melakukan secara sembunyi.

Apapun alasannya, amalan tidak bermaruah dan menyalahi tabie manusia yang pentingkan kasih sayang dan menjaga maruah diri, mesti dijauhkan dari menjadi amalan umat Islam.

Biarpun, masyarkat Barat mencapai tamadun dan kemajuan lebih hebat berbanding umat Islam, mereka sebenarnya sedang menuju era kejatuhan akhlak yang teruk. Amalan seks bebas, LGBT, kahwin sejenis dan sebaginya semakin menular di negara Barat.  

Antara tujuan berkahwian ialah melahirkan zuriat yang bersih. Anak merupakan penerus kelangsungan agama. 
 
Melalui zuriat berterusan dari generasi ke generasi, maka penyebaran dan pengamalan agama akan berterusan hingga ke hari kiamat. Sebab itu Rasulullah menyuruh berkahwin dan menambah agar mempunyai anak. 

Ganjaran dan janji kebaikan disediakan bagi umat merelisasikan perkahwinan kerana ia bukan perkara kecil. 

Tanggungjawab dalam perkahwinan amat besar. Ia bukan semudah disangka. Sebab itu ia tidak boleh dilakukan terburu-buru. Biarpun perkahwinan digalakkan, ia perlu ‘dihalang’ daripada menjadi seperti ‘perkahwinan’ binatang.

Lelaki dan perempuan yang bersetuju membentuk ikatan perkahwinan secara mutlaknya telah bersetuju menjalankan amanah dan tanggungjawab antara suami dan isteri. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing. 

Lelaki sebagai suami mempunyai tanggungjawab lebih berat berbanding perempuan sebagai isteri. Suami menjadi pemimpin rumahtangga dan bertanggungjawab menyediakan nafkah keperluan bagi isteri dan keluarga. 
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib di atas kamu memberikan nafkah kepada anak dan isteri serta pakaian dan tempat tinggal yang munasabah.”

Justeru, suami diingatkan agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kesediaan menjadi suami bermakna bersedia menjalankan tanggungjawab. Tanggungjawab merupakan amanah yang bukan sekadar di antara isteri, tetapi terhadap Allah. 

Rasulullah bersabda bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah dalam hal perempuan, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka menjadi isteri dengan amanah Allah dan dihalalkan kamu berkesedudukan bersama mereka dengan khalimah Allah.”

Sungguhpun berkahwin merupakan tuntutan naluri semulajadi manusia, ia dikira juga sebagai amalan beragama. Islam agama lengkap yang saling melengkapkan. 

Hakikatnya, semua penganut agama lain juga berkahwin. Tetapi perkahwinan mereka dilakukan atas keperluan semulajadi manusia. Maknanya, ia tidak dikira ibadah bagi agama lain.  

Sebab itu perkahwinan bagi umat lain lebih mengikut keperluan adat. Jika tidak mahu mengikut adat, maka dianggap tidak perlu melangsungkan perkahwinan dan boleh bebas hidup bersama seperti pasangan suami isteri.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Jika seseorang itu telah berkahwin maka ianya telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka bertakwalah kepada Allah di dalam separuh baki lagi.” 

Sabda itu jelas mengaitkan perkahwinan sebagai amalan beragama yang dituntut. Justeru, perkahwinan yang dilangsungkan dengan memenuhi keperluan syariat dan berterusan dalam keadaan takwa, mendapat keuntungan berterusan di dunia dan akhirat. 

Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim apabila kamu mengahwininya, maka kahwinlah perempuan lain yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.” (Surah an-Nisa, ayat 3). 

No comments:

Post a Comment