Friday 2 April 2021

POKOK GELAM MENGHASILKAN MINYAK KAYU PUTIH

 
Pokok gelam atau dikenali juga dengan nama pokok kayu putih atau nama saintifiknya Melaleuca cajuputi dari famili Myrtaceae merupakan pokok yang mengeluarkan sumber minyak perubatan dipanggil minyak cajuput atau minyak kayu putih. 
 
Pokok gelam didapati tumbuh meliar di kawasan terbiar dan berpaya di seluruh Semenanjung Malaysia. Pokok gelam juga tumbuh di hutan atau bukit berhampiran kawasan berpaya hasil penyebebaran biji benih. 
 
Pokok gelam boleh mencapai ketinggian sehingga 15 - 20m dengan kanopi padat dan sempit. Daunnya berukuran 5 - 9cm panjang berwarna hijau, tebal, keras licin, bujur atau memanjang dengan 5 - 7 urat membujur. 
 
Daun pokok gelam menyerupai daun pokok Acacia. Daunnya mengeluarkan bau seakan pokok teh apabila dihancurkan. Bunga kecil berkrim kuning memanjang berbentuk berus botol menyebabkan ianya juga dikenali dengan nama ‘bottle brush plant’. 
 
Terdapat juga daun baru tumbuh di celah-celah bunga manakala buahnya berbentuk bulat kapsul coklat dalam kelompok yang padat dan boleh kekal di pokok itu selama beberapa tahun. Buah akan pecah untuk mendedah atau menyebarkan bijinya yang berwarna coklat. 
 
Batang pokok gelam kurus dan kelihatan seperti berpintal disaluti kulit yang lembut tebal berwarna putih keperangan hingga kelabu dan boleh mengelupas dalam kepingan besar seperti helaian kertas yang sering disebut juga dengan nama pokok kulit kayu kertas. 
 
Pokok gelam dianggap sebagai pokok yang lasak kerana mampu menahan keadaan kemarau, angin yang kuat atau suhu panas yang melampau.   
 
Pokok gelam sesuai dijadikan tanaman landskap yang menarik di taman-taman. 
 
Daun pokok gelam digunakan dalam menyuling cajeputi atau minyak pokok teh yang digunakan untuk tujuan perubatan dan antiseptik. Bagi masyarakat Malaysia daunnya digunakan untuk merawat sakit perut dan taun. 
 
Kayu pokok gelam yang berwarna merah jambu dan coklat mempunyai tekstur seragam digunakan untuk ukiran. Kepingan kulit kayu pokok ini banyak digunakan dalam industri membuat perahu terutama untuk penebatan di antara kepingan papan perahu. 
 
Bagi penternak lebah madu, hutan gelam merupakan tumbuhan paling digemari pengusaha untuk memindahkan haif-haif lebah disebabkan tumbuhan ini berbunga sepanjang tahun dan boleh menghasilkan madu yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment